Arkib Berita

KUALA LUMPUR: Penggunaan tumbuhan semula jadi seperti kanabis atau marijuana diharuskan amalannya dalam bidang perubatan sekiranya memberi manfaat dan tidak memudaratkan kepada kesihatan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor, berkata kajian secara terperinci perlu dilakukan termasuk mengenal pasti kandungan bahan di dalam kanabis untuk tujuan perubatan tidak menyebabkan ketagihan kepada pesakit.

Katanya, pengesahan pakar diperlukan bagi membuktikan keberkesanannya bertujuan menyembuhkan penyakit dan tiada alternatif lain daripada bahan lebih selamat.

“Jika kanabis dilihat memudaratkan penggunaannya jatuh kepada haram. Penggunaannya juga dilarang bagi tujuan keseronokan atau khayal.

“Kebenaran penggunaan mengikut kuantiti ditetapkan perlu diperjelaskan selain kawalan ketat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas laporan BH mengenai penyelidikan Neurosains Universiti Pertanian Malaysia (UPM) yang mendapati penggunaan marijuana atau kanabis mampu merangsang pembentukan saraf otak yang mati.

Kajian diketuai oleh Prof Madya Dr Mohamad Aris Mohd Moklas menjelaskan kanabis pada dos rendah memberi kebaikan dari sudut kesihatan tetapi boleh mendatangkan kesan mudarat jika diambil melebihi 2 mg/kg (miligram).

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Fiqh Kontemporari dan Pematuhan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, berkata apa juga keputusan dibuat berkaitannya, ia seharusnya disahkan oleh pakar berkaitan.

“Sesuatu yang haram itu, menjadi harus apabila ia tidak ada pilihan lain untuk mengubati penyakit dan memberi harapan untuk manusia untuk terus hidup.

“Ia dibenarkan Islam selagi tidak ada yang lebih baik dan diperakui halalnya,” katanya.

Beliau yang juga pendakwah terkenal, berkata kajian dilakukan penyelidik tempatan itu perlu mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan dan kelulusan daripada pihak farmaseutikal.

“Sekiranya memberikan manfaat, Islam tidak melarang dan seharusnya dibenarkan selagi untuk keperluan dan kebaikan kepada pesakit,” katanya.


 Sumber: https://www.bharian.com.my/wanita/sihat/2019/01/525574/penggunaan-kanabis-diharuskan