Arkib Berita

Georgetown – Menyimpan dan memulihara manuskrip yang sangat bernilai dan bermanfaat bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan. Apatah lagi jika manuskrip yang telah berusia beratusan tahun. Menyedari akan kesukaran tersebut, satu inisiatif diambil oleh Bahagian Rujukan Maklumat, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dengan menganjurkan Bengkel Pemuliharaan Manuskrip baru-baru ini.

Bengkel tersebut dilaksanakan dengan tujuan mempelajari cara-cara untuk memulihara koleksi manuskrip yang terdapat di Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang. Bengkel yang telah berlangsung selama dua (2) hari iaitu pada 13 dan 14 Mac 2019 di Bilik Mesyuarat, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang telah mendapat kerjasama dari Arkib Negara Malaysia. Dua (2) orang pegawai dari Seksyen Pemuliharaan Dan Reprografi, Arkib Negara Malaysia telah sudi menjadi fasilitator bagi menjayakan bengkel tersebut.

Bengkel ini juga memberi peluang kepada staf-staf Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang untuk mengenali dengan lebih mendalam tentang proses pemuliharaan manuskrip. Peserta telah diberikan tunjuk ajar berkenaan kaedah pembersihan, ujian kelunturan dakwat dan restorasi, Selain itu, turut didedahkan dengan ujian keasidan, pengenyahan asid, pembaikan tisu, proses pengkapsulan, proses leaf coating (tuang lembar), penjilidan dan sebagainya.