Kuantifikasi & Stabiliti DNA Babi

DNA Babi boleh menyerap masuk ke dalam produk makanan sama ada ianya disengajakan atau berlaku secara tidak sengaja dan kontaminasi DNA Babi yang berlaku boleh diukur dan boleh diketahui sekiranya ia berlaku melalui sentuhan secara fizikal. Kontaminasi juga berkemungkinan berlaku melalui edaran udara apabila daging babi dan bahan lain disimpan di dalam tempat yang sama dan kedua-duanya di dalam keadaan tidak bertutup, walaupun tiada persentuhan fizikal berlaku antara keduanya. Kontaminasi DNA babi tidak akan berlaku sekiranya daging babi dan bahan halal lain disimpan di dalam bekas yang bertutup kemas dan tiada sentuhan secara fizikal.

Dalam hal ini Muzakarah berpandangan bahawa dalam penghasilan atau pemprosesan sesuatu produk halal, pencemaran atau kontaminasi produk dengan DNA bahan yang diharamkan seperti babi boleh dikawal dari peringkat awal penyediaan bahan mentah lagi dan sekiranya sesuatu produk itu didapati mengandungi DNA babi semasa proses akhir penghasilannya dan sebelum dipasarkan, maka ia tidak boleh dikategorikan sebagai halal kerana tidak menepati kaedah Umum al-Balwa.

Walau bagaimanapun, dalam kes produk siap diproses dan telah dipasarkan kepada pengguna yang pada asasnya telah dihasilkan melalui pemprosesan serta menggunakan bahan-bahan yang suci dan halal, tetapi kemudiannya didapati telah berlaku kontaminasi DNA babi pada sebahagian produk, maka Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa dalam keadaan ini ia adalah dikategorikan sebagai umum al-balwa dan hukum produk tersebut adalah merujuk kepada hukum asal iaitu halal dimakan kerana pencemaran atau kontaminasi yang berlaku adalah di luar kawalan dan tidak dapat dielakkan.