Arkib Berita Tahun 2019

ww

BUTTERWORTH ,Selasa -  Program Tafaqquh Falak Perdana Siri 2/2019 telah diadakan di Dewan Setia, Pangkalan Udara Butterworth.Program ini adalah kesinambungan daripada Program Tafaqquh Falak Perdana Siri 1 yang telah mensasarkan Guru KAFA dari seluruh Pulau Pinang. Siri kali ini dua orang panel telah diundang iaitu Mejar Nor Asharudin bin Mohd Noor, Juruterbang Operasi Pangkalan Udara Butterworth yang mengupas mengenai ‘Keajaiban Langit’ dan Ustaz Hj Hanafiah bin Abd Razak, Ahli Jawatankuasa Falak Negeri Pulau Pinang yang menyampaikan ceramah bertajuk ‘Ibadah di Angkasa’.Program ini merupakan program kerjasama antara Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dengan Pangkalan Udara Butterworth. Program juga telah dirasmikan oleh Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang,Sahibul Fadhilah Tuan Haji Yusoff bin Abu Bakar. Seramai  250 orang peserta telah menyertai program ini.

 

JAWI, 20 Nov (Rabu) – Telah berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Falak Negeri Pulau Pinang Bil. 2/2019 di Institut Latihan Kemahiran Mara (ILKM), Jawi. Mesyuarat yang bermula pada jam 9 pagi telah dipengerusikan oleh Tuan Hj. Yusoff bin Abu Bakar, Timbalan Mufti Negeri Pulau Pinang. Ahli-ahli mesyuarat terdiri daripada Pengarah JUPEM Pulau Pinang - Sr. Hj. Muhammad Salim bin Mohammed Asari, Prof Dr. Mohd Zubir bin Mat Jafri dan Prof. Madya Dr. Abdul Halim bin Abdul Aziz dari Pusat Pengajian Sains Fizik USM, Puan Halimah bt. Khalil dari Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP), Ust. Hj. Hanafiah bin Abdul Razak dari Jabatan Agama Islam Negeri Johor, dan Encik Nor Azam bin Mat Noor selaku Penyelidik Bebas Astronomi Islam. Selain itu, Pusat Falak Sheikh Tahir (PFST) turut diwakili oleh Penolong Mufti, En. Mohd Zulhelmi bin Mohd Yusof dan Ust. Muhammad Haniff bin Baderun selaku Penolong Mufti Kanan (Falak) bertindak sebagai Setiausaha Mesyuarat. Mesyuarat diakhiri dengan Sesi Bicara Pakar bertajuk ‘Pengisbatan Waktu Fajar yang disampaikan oleh Ust. Hj. Hanafiah bin Abdul Razak.

Bengkel ICT Siri 3/2019 telah berlangsung pada 31 Julai 2019 bersamaan dengan 28 Zulkaedah 1440H bertempat di Bilik Latihan ICT (Millenium) Tingkat 24, Komtar. Sesi bengkel tersebut telah dikendalikan oleh Cik Siti Asmah binti Abdul Manap (Penolong Pegawai Teknologi Maklumat Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang).

Objektif Bengkel ICT siri 3/2019 anjuran Bahagian Rujukan Maklumat, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang ini diadakan adalah bagi memantapkan pembudayaan ICT dikalangan warga kerja Jabatan ini dan untuk mengoptimumkan penggunaan teknologi ICT dalam menyahut seruan pelaksaan Kerajaan Digital oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Antara sesi taklimat yang telah diadakan adalah berkenaan HRMIS , Microsoft Office – Word, Microsoft Office – Excel dan Microsoft Office - PowerPoint. Sesi Pengemaskinian HRMIS telah diadakan sempena sambutan bulan HRMIS peringkat PSUKPP yang bertemakan “Data Anda Tanggungjawab Anda”. Beberapa aplikasi HRMIS turut diperkenalkan. Antaranya adalah MyHRMIS Self Check yang merupakan satu lagi inovasi baharu dibangunkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam(JPA) untuk memberi kemudahan kepada penjawat awam menyemak dan mengetahui status terkini data pegawai yang menyumbang kepada pencapaian KPI HRMIS. 

Pengisian bengkel Microsoft Office Word , Excel serta PowerPoint tertumpu kepada pengenalan ciri-ciri baharu pada Microsoft 365. Sesi ini juga bertujuan bagi meningkatkan kemahiran perkongsian fail dan sumber menggunakan teknologi awan OneDrive melalui aplikasi Microsoft Office 365. Selain daripada itu, pengenalan ringkas beberapa tools Microsoft Office 365 turut diberikan bagi tujuan meningkatkan produktiviti kerja.

Sesi bengkel diakhiri dengan sedikit jamuan kepada para peserta yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang.

Tanjung Bungah: Semua peringkat pegawai serta kakitangan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang perlu sentiasa menanam semangat bekerja sebagai satu pasukan, walaupun mereka bertugas di bahagian yang berlainan dalam satu Jabatan. Demikianlah antara rumusan daripada ucapan Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika berucap sempena penutupan program Team Building Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang di Kompleks Sukan Air di sini, pada 27 April 2019.

Selain itu, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim bin Wan Mohd Noor turut menyatakan bahawa kerja berpasukan merupakan salah satu bentuk pengurusan yang penting bagi merealisasikan matlamat sesebuah organisasi atau Jabatan dalam mewujudkan suasana harmoni dan tiada perselisihan faham di antara satu sama lain.

Program yang berlangsung selama sehari itu telah mendapat penyertaan seramai 26 orang kakitangan JMNPP. Para peserta telah didedahkan dengan beberapa aktiviti indoor dan outdoor bagi mengukuhkan lagi semangat berpasukan dan mengeratkan silaturahim.

Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan dikendalikan oleh fasilitator dari Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang.