Arkib Keratan Akhbar Tahun 2018

Ambil peluang sebarkan agama Islam || Sinar Harian, 9 November 2018

BUKIT MERTAJAM - Umat Islam di negara ini diseru untuk menyebar luas maklumat dan pengetahuan mengenai Islam kepada orang ramai termasuk rakan yang bukan beragama Islam.BUKIT MERTAJAM - Umat Islam di negara ini diseru untuk menyebar luas maklumat dan pengetahuan mengenai Islam kepada orang ramai termasuk rakan yang bukan beragama Islam.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, Perlembagaan Malaysia melarang mana-mana agama selain Islam disebarkan kepada masyarakat Islam di negara ini, tetapi membenarkan Islam disebarkan kepada orang bukan Islam.

Menurutnya, ia merupakan satu keistimewaan bagi Islam sebagai agama rasmi Persekutuan namun amat dikesali apabila umat Islam tidak mengambil peluang ini untuk menyampaikan maklumat mengenai Islam kepada orang ramai mahupun atau kenalan mereka yang bukan Islam.

"Ini menyebabkan majoriti masyarakat bukan Islam terus menerus jahil atau tidak memahami sifat agama Islam sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam.

"Kecuaian ini mesti dihentikan dan mungkin keadaan ini berpunca daripada salah faham umat Islam sendiri terhadap konsep sensitiviti agama. Sedangkan maksud sebenar ialah kita dilarang memburukkan agama seseorang dengan mencercanya, memaki hamun, menghina dan sebagainya," katanya di sini.

Bagaimanapun, Dr Wan Salim berkata, ini tidak bererti umat Islam dilarang menyampaikan maklumat atau menjelaskan ajaran Islam kepada masyarakat Malaysia yang bukan Islam.

Katanya, tidak mahu menyampaikan kebenaran tentang Islam kepada orang lain menunjukkan sikap keakuan umat Islam sendiri seolah-olah mereka hanya ingin menyelamatkan diri sendiri sahaja daripada siksaan neraka ALLAH SWT.

Tambahnya, sikap sedemikian adalah salah kerana Islam mewajibkan umatnya menyampaikan misinya kepada seluruh manusia.
"Justru kita menyeru umat Islam di negara ini supaya menunaikan kewajipan masing-masing dengan menyampaikan maklumat yang tepat tentang agama Islam kepada masyarakat bukan Islam," katanya.

Mengulas mengenai usaha mengedarkan kitab Bible kepada pelajar-pelajar beragama Islam di sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam di sini baru-baru ini, Dr Wan Salim berkata, umat Islam tidak seharusnya memberi reaksi berlebih-lebihan bila mendapati ada individu atau pihak lain cuba menyebarkan agama tertentu kepada orang Islam.

Katanya, sedangkan umat Islam sendiri tidak berusaha menyebarkan agama mereka secara aktif kepada orang-orang lain, padahal Perlembagaan Negara mengizinkan mereka berbuat demikian di samping ia merupakan kewajipan dan dianjurkan oleh Islam.

 Sumber: http://www.sinarharian.com.my/nasional/ambil-peluang-sebarkan-agama-islam-1.902356