Arkib Keratan Akhbar Tahun 2019

Mufti sokong ahli Parlimen isytihar harta | SinarHarian, 3 Julai 2019

KUALA LUMPUR - Tindakan mengisytiharkan harta pemimpin sesuai dengan ajaran Islam kerana ia mendukung nilai-nilai keadilan yang menggalakkan pemerintah dan pemimpin bersikap telus dan amanah.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, Islam mendukung nilai integriti yang menggalakkan pemimpin lebih bertanggungjawab terutama berkait rapat dengan harta benda awam yang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memeliharanya.

Sekiranya pemimpin ingin menjadi contoh kepada rakyat, katanya, mereka perlu berani mengisytiharkan harta yang mereka miliki.

“Mereka perlu menjadi contoh kepada rakyat tentang ketelusan dan kejujuran masing-masing.

“Dengan tindakan itu, ia menjadikan suasana negara bertambah baik dan dapat mengeratkan lagi hubungan antara pemimpin dan rakyat kerana wujud sikap saling percaya mempercayai antara satu sama lain.

"Contohilah Khalifah Umar Ibnu Al-Khattab kerana beliau ialah seorang pemimpin Islam yang unggul dan ulung,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Wan Salim bagaimanapun berkata, sikap Khalifah Umar banyak diamalkan pemimpin Barat ketika ini.

“Kita sering mendengar ada pemimpin atau menteri di negara barat mendedahkan pendapatan, mempamerkan akaun bank dan mengisytiharkan harga rumah.

“Dengan itu, rakyat percaya dengan pemimpin mereka dan dapat melihat keikhlasan dalam berkhidmat untuk rakyat dan bukannya menyalah gunakan jawatan bagi mengaut kekayaan untuk diri sendiri dan keluarga," katanya.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, kerajaan perlu menetapkan satu peraturan bagi mengisytiharkan harta tetapi tidak akan diumumkan kepada orang ramai.

“Jika kita isytihar harta kepada kerajaan, kerajaan tidak akan umum kepada rakyat kerana tujuannya untuk menjaga kemaslahatan ummah dan mengelakkan berlakunya penyelewengan.

“Tindakan kerajaan ini adalah untuk kemaslahatan dan ia sama sekali tidak dilarang dalam Islam,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurut Mohamad Shukri, amalan mengisytiharkan harta sudah menjadi perkara rutin kepada mana-mana pegawai kerajaan kerana ia sebahagian daripada Prosedur Operasi Standard (SOP).

Beliau berkata, terdapat dua situasi yang boleh dikaitkan apabila individu berkenaan mengisytiharkan hartanya.

“Jika kerana sifat riak, maksudnya tindakan mengisytiharkan harta untuk menunjuk-menunjuk, ia dilarang dalam Islam.

“Akan tetapi jika mengisytiharkan harta; contohnya kita isytihar telah membayar zakat dengan tujuan untuk menggalakkan orang membayar zakat itu tidak dilarang malah digalakkan,” katanya.

Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula berpandangan, pemerintah berhak menentukan kaedah yang diyakini terbaik dalam memastikan integriti dan urus tadbir yang baik.

Jelas beliau, semua pihak perlu memahami bahawa Islam bersifat luas termasuk dalam soal pentadbiran.

“Ini termasuklah soal pengisytiharan harta. Pemerintah berhak menentukan kaedah yang diyakini terbaik dalam memastikan integriti dan urus tadbir yang baik.

“Jangan kita jumud dan mempergunakan dalil-dalil agama sehingga menyempitkan ruang politik yang diluaskan oleh syarak,” katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebooknya Dr.MAZA.com semalam.

Menurutnya, Nabi Muhammad SAW sendiri dalam pentadbiran kerajaan memastikan para petugas atau pegawai yang dilantik tidak memiliki harta atas salah guna kedudukan.

Malah, katanya, baginda menegur harta yang dimiliki para petugas yang diperoleh dengan cara yang tidak betul dan baginda memeriksa dakwaan harta yang mereka miliki berdasarkan hadis dalam Riwayat al-Bukhari.

Pendekatan yang sama turut dilaksanakan Khalifah Umar al-Khattab yang memeriksa harta pegawai-pegawai yang dilantik dan mencatatkannya.

Mohd Asri turut menjelaskan tentang kewajiban membayar zakat ditentukan berdasarkan kadar harta yang dimiliki seseorang Muslim.

"Ulul Amri (pemerintah) merupakan amil zakat yang berkewajipan memastikan mereka yang wajib membayar zakat menunaikan tanggungjawab.

"Jika agama melarang Muslim mengisytiharkan harta, pastilah Muslim tidak boleh membayar zakat kepada amil zakat kerana itu menyebabkan jumlah hartanya diketahui.

"Maka, dakwaan bahawa Islam tidak membenarkan jumlah harta seseorang dimaklumkan kepada pihak pemerintah adalah batil dan tidak berasas," ujar beliau.

Semalam, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua ahli Parlimen termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing.

Usul yang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dan disokong Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar diluluskan selepas dibahaskan 26 ahli Parlimen.

Selepas Vui Keong menggulung usul, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan usul itu diluluskan sebulat suara tanpa sebarang bantahan termasuk daripada ahli Parlimen pembangkang.


 Sumber:https://www.sinarharian.com.my/article/35547/BERITA/Nasional/Mufti-sokong-ahli-Parlimen-isytihar-harta