Cerapan Gerhana Bulan Penuh 1439H

Kepala Batas : Pada 31 Januari 2018 bersamaan 15 Jamadilawal 1439H, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Abdullah Fahim  telah berjaya menganjurkan suatu Majlis Cerapan bersempena fenomena Gerhana Bulan Penuh di perkarangan Masjid Abdullah Fahim; Fenomena Gerhana Bulan ini berlaku apabila jasad Bulan memasuki kawasan bayang-bayang bumi yang berada di angkasa lepas. Ia hanya boleh berlaku ketika Bulan berada di dalam Fasa Purnama (Bulan Penuh) sahaja. Ketika ini, Matahari, Bumi dan Bulan berada di dalam satu garisan lurus yang sempurna¹.

Fasa Gerhana bermula apabila Bulan mula masuk bayang gelap Bumi (Umbra) pada jam 7.50 malam. Kemudian, Gerhana Bulan penuh mula kelihatan jam 8.22 malam dan kemuncaknya pada jam 8.53 malam. Gerhana Bulan Penuh telah tamat jam 11.10 malam.

Majlis Cerapan yang bermula seawal jam 6.00 petang itu dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti seperti Pameran Falak, Kuliah Magrib Khas yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang (Ustaz Muhammad Haniff bin Baderun), Solat Sunat Khusuf dan Khutbah Gerhana oleh Sahibul Fadzilah Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Tuan Haji Aminudin bin Mohamad). Seramai 2,000 muslimin dan muslimat telah menyertai Majlis Cerapan ini.

         
GerhanaBulan1439H   GerhanaBulan1439H 3 GerhanaBulan1439H 4 GerhanaBulan1439H 5

 Rujukan: ¹ -http://falakonline.net/semesta/2018/01/maklumat-lengkap-fenomena-gerhana-bulan-penuh-31-januari-2018/