Jika ragu, usah ambil tajaan haji 1MDB || Sinar Harian, 6 Januari 2017

GEORGETOWN - Jika seseorang meragui status halal ataupun haram terhadap sesuatu perkara, lebih baik ia dielakkan, demikian nasihat Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Jelasnya, ia berikutan dibimbangi perasaan was-was itu akan terjatuh kepada perkara yang haram.

“Jika rasa ragu-ragu, jangan ambil tajaan berkenaan. Ini adalah berdasarkan hadis sohih Muslim Sharh al-Nawawi yang menyatakan bahawa barangsiapa mengelak daripada perkara syubhah maka sesungguhnya ia membersihkan agama dan dirinya daripada melakukan perkara yang diharamkan.

“Maksud hadis itu juga, halal dan haram adalah jelas. Namun antara keduanya itu terdapat perkara yang sama iaitu syubhah.

"Barangsiapa mengelak daripada perkara syubhah maka sesungguhnya ia membersihkan atau melepaskan diri daripada perkara yang haram,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Tun Mahathir yang menyebut status ibadah Haji yang ditunaikan melalui tajaan di bawah Program Khas Perdana Menteri, Yayasan 1MDB adalah tidak mabrur.

Wan Salim berkata lagi, perkara tersebut tidak akan menjadi perbincangan sekiranya pembiayaan yang ditawarkan oleh pihak kerajaan adalah melalui perbendaharaan negara.

Ia kerana sumber tersebut dianggap halal di sisi hukum fiqah, jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan tiada siapa yang boleh memastikan samaada ibadah haji seseorang itu mabrur atau mardud.

“Hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu, namun kita perlu berdoa kepadaNYA supaya ibadah haji yang dilakukan diterima di samping berikhtiar supaya ibadah tersebut suci.

“Ia termasuk memastikan kesemua perbelanjaan untuk menunaikan rukun Islam yang kelima itu datang daripada sumber halal serta terhindar daripada perkara haram dan syubhah,” katanya.

Beliau turut menerangkan haji mabrur membawa maksud haji yang diterima ALLAH SWT kerana ianya ditunaikan dengan hati ikhlas serta memenuhi segala syarat dan rukunnya.

Malah ia tidak dicampuri dengan amalan dosa atau maksiat termasuk mengucapkan perkataan lucah, melakukan perbuatan jahat dan bertengkar.

“Ini berdasarkan ayat al-Quran melalui surah al-Baqarah, ayat 197. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan lain-lain, Rasulullah SAW bersabda, ‘Tiadalah ganjaran Haji yang Mabrur melainkan syurga’.

“Baginda juga bersabda: ‘Barangsiapa mengerjakan Haji dan ia tidak mencarut dan melakukan amalan fasik maka dirinya kembali bersih daripada segala dosa sepertimana keadaannya ketika dilahirkan oleh ibunya’.

“Sementara itu lawan Haji Mabrur ialah Haji Mardud yakni yang ditolak dan tidak diberi sebarang pahala oleh ALLAH SWT kerana sebab-sebab yang menjejaskannya,” katanya.


http://www.sinarharian.com.my/nasional/jika-ragu-usah-ambil-tajaan-haji-1mdb-1.607518