keratan akhbar

Kerajaan negeri tak campur tangan || Sinar Harian, 2 Februari 2017

GEORGETOWN - Belum pernah kerajaan negeri  mencampuri urusan fatwa di Pulau Pinang seperti yang didakwa Pas sebelum ini.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Mohd Noor berkata, walaupun sesuatu fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri perlu dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) terlebih dahulu namun ia dilakukan bukan untuk dibahas sebaliknya hanya untuk tujuan makluman.

“Apabila mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri memutuskan untuk mewartakan sesuatu fatwa, ia dikemukakan terlebih dahulu di dalam mesyuarat exco oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Kemudian perkara itu akan dihantar ke pejabat Penasihat Undang-undang Negeri untuk diperbaiki serta dihalusi susunan bahasanya sebelum ia dihantar ke Istana Negara menerusi Pejabat SUK untuk mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dr Wan Salim berkata, setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, pejabat SUK sekali lagi akan menghantar keputusan itu ke pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri untuk tujuan pewartaan.

Ditanya mengenai dakwaan terdapat fatwa yang dibekukan oleh kerajaan negeri, Dr Wan Salim berkata, perkara itu tidak berlaku sebaliknya hanya terdapat beberapa perkara yang tertangguh dan mengambil masa untuk diuruskan sebelum ia dibawa untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Masyarakat hendaklah memahami bahawa keputusan fatwa dibuat berdasarkan kaedah-kaedah tertentu di samping mempertimbangkan kepentingan awam dan situasi sekeliling.

“Saya amat berharap agar ahli-ahli politik khasnya dan masyarakat amnya dapat menghormati fatwa yang diputuskan oleh mana-mana Jawatankuasa Fatwa di negara ini sama ada di peringkat Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan mahupun fatwa negeri,” katanya.

Beliau berharap dengan penjelasan yang diberikan dapat menghilangkan kekeliruan berhubung proses pewartaan fatwa dan tiada lagi dijadikan sebagai bahan polemik oleh mana-mana pihak.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yussof yang mendakwa kerajaan negeri di bawah naungan DAP bertindak melampaui batas apabila mencampuri urusan institusi fatwa termasuk membekukan beberapa fatwa yang telah dibincangkan oleh Majlis Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Muhammad Fauzi sebelum ini mendakwa, fatwa-fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang perlu dimaklumkan kepada mesyuarat Exco yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng terlebih dahulu sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, DAP dan PKR melalui kerajaan negeri dengan sengaja telah mencampuri urusan penfatwaan apabila mengarahkan supaya semua fatwa yang diputuskan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang perlu melalui mesyuarat Exco terlebih dahulu sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Dalam  isu ini, sewaktu kita masih bersama dalam Pakatan Harapan dahulu kita pernah menyatakan bantahan secara tertutup kepada Exco Agama, Datuk Abdul Malik Kassim namun sehingga hari ini amalan campur tangan masih berlaku,” katanya.

Muhammad Fauzi berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 sebarang fatwa yang diputuskan hendaklah terus disyorkan kepada Agong selaku ketua agama Islam untuk diwartakan dan tidak perlu merujuk kepada mesyuarat Exco.


http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/utara/kerajaan-negeri-tak-campur-tangan-1.621647