keratan akhbar

Jangan ragui Pusat Zakat Pulau Pinang: Mufti || Sinar Harian, 11 Mei 2017

GEORGETOWN - Umat Islam di negeri ini dinasihatkan agar tidak meragui dan memberi kepercayaan penuh terhadap Pusat Zakat Pulau Pinang (ZPP) dalam menguruskan pentadbiran wang zakat.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ia berikutan penjelasan telah dibuat Exco Hal Ehwal Agama, Datuk Abdul Malik Abul Kassim bahawa penahanan empat pegawai tertinggi ZPP tidak ada kena mengena dengan wang zakat.

"Saya dimaklumkan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Datuk Malik bahawa penahanan mereka itu tidak ada sangkut paut dengan duit zakat. Ia lebih kepada tender bersama kontraktor.

"Oleh itu, saya nasihatkan kepada umat Islam agar tetap mempercayai ZPP dalam menguruskan wang zakat. Di samping itu, saya juga berharap agar umat Islam membayar zakat seperti biasa demi bantuan kepada golongan asnaf dan tidak berkemampuan," katanya kepada Sinar Harian.

 Wan Salim bagaimanapun enggan mengulas lanjut berikutan isu berhubung zakat berada di bawah kuasa MAINPP.

"Isu ini saya tak boleh komen banyak sebab dia di bawah MAINPP tapi saya sebagai mufti menasihatkan, jangan buat sebarang spekulasi selagi siasatan belum selesai.

"Apa saja keputusan, kita serah kepada MAINPP," katanya.

Kelmarin, dalam sidang medianya, Abdul Malik mengesahkan tiada penyelewengan wang zakat susulan tangkapan empat pegawai tinggi pusat berkenaan dua hari lalu.

Abdul Malik berkata, penahanan keempat-empat pegawai tertinggi ZPP oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu lebih kepada siasatan berhubung penyelewengan peribadi.

Menurutnya, Ahli Lembaga Pengarah ZPP telah mengadakan mesyuarat semalam untuk melihat kembali soal pentadbiran dalam ZPP selepas empat pegawai tertingginya ditahan reman selama seminggu.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah ZPP, Datuk Mohd Salleh Man berkata, pihaknya bersedia memberi kerjasama kepada SPRM dalam melengkapkan siasatan terhadap empat pegawai tertinggi terbabit.

Beliau yang juga Yang Dipertua MAINPP turut meminta orang ramai khususnya masyarakat Islam tidak bimbang dengan perkara tersebut kerana MAINPP akan berusaha mengambil langkah-langkah tertentu bagi meningkatkan ketelusan dan urus tadbir yang baik di semua peringkat pengurusan zakat di Pulau Pinang.

Dua hari lalu, empat pegawai tertinggi agensi zakat Pulau Pinang yang salah seorangnya berpangkat Datuk ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan wang zakat.

Selain mereka, lapan kontraktor turut direman selepas ditahan sepasukan SPRM di pejabat dan kediaman mereka.

Menurut Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Abdul Aziz Aban, siasatan awal mendapati, mereka terlibat dalam penyelewengan wang zakat dengan mewujudkan pakatan perkongsian keuntungan secara jenayah melibatkan jutaan ringgit.

Dipercayai, Datuk terbabit yang memegang jawatan pegawai tertinggi sejak 1995 itu juga dipercayai turut memberikan bantuan permulaan pelajaran dan meluluskan biasiswa tahunan untuk anaknya sendiri tanpa melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP).


Sumber: http://www.sinarharian.com.my/nasional/jangan-ragui-pusat-zakat-pulau-pinang-mufti-1.673006