Arahan tutup jika abai aspek keselamatan || Sinar Harian, 14 September 2017

GEORGETOWN - Tindakan tegas akan dikenakan terhadap maahad tahfiz di Pulau Pinang yang mengabaikan aspek keselamatan termasuk penarikan semula kelulusan dan penutupan premis.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan keselamatan nyawa penghuni maahad tahfiz berkenan.

Menurutnya, selain itu, ia sebagai menjaga nama baik institusi pendidikan Islam yang sangat mementingkan aspek keselamatan.

"Di Pulau Pinang, saya telah mengarahkan aspek keselamatan dipertingkatkan pada semua maahad tahfiz. Kerajaan Negeri memandang berat pengurusan maahad tahfiz yang tidak mengambil berat aspek keselamatan pelajarnya.

"Oleh itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat akan mengadakan pertemuan dan memberi taklimat khas kepada semua pentadbir maahad tahfiz dalam masa terdekat. Ia bagi mengelakkan tragedi di Selangor berulang di negeri ini," katanya menerusi kenyataan medianya tadi.

Dalam pada itu, Abdul Malik yang mewakili Kerajaan Pulau Pinang mengucapkan takziah kepada keluarga 23 pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang maut dalam kejadian kebakaran pagi tadi.

Abdul Malik berkata, walaupun tragedi tersebut amat menyayat hati dan mengejutkan negara, namun ia tidak perlu diratapi lagi kerana meyakini roh kesemua pelajar tersebut akan ditempatkan di jannah.


Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/arahan-tutup-jika-abai-aspek-keselamatan-1.730773