Rambut digunting bukan Islam harus: Mufti || Sinar Harian, 18 Oktober 2017

SS Mufti

GEORGETOWN – Tiada nas daripada ayat al-Quran mahupun hadis Nabi yang melarang rambut orang Islam digunting orang bukan Islam.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, sekiranya tiada ayat al-Quran ataupun hadis Nabi yang melarang umat Islam daripada melakukan sesuatu perbuatan, maka hukum asalnya adalah harus sehingga menjumpai nas yang menyatakan sebaliknya.

“Dalam isu-isu selain daripada ibadat, kita dikehendaki membuat keputusan dengan memperimbangkan maslahat atau kepentingan awam kerana Malaysia adalah sebuah negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum yang berbeza etnik, agama dan budaya.

“Dalam situasi sebegini, kita tidak boleh memberi pandangan sewenang-wenangnya yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak, seterusnya boleh membawa kepada ketegangan dalam hubungan antara sesama warganegara,” katanya semalam. 

Menurutnya, dalam isu rambut orang Islam digunting oleh orang bukan Islam, tiada nas daripada ayat al-Quran mahupun hadis Nabi yang melarang maka hukumnya tetap harus.

“Begitu juga menyekolahkan anak di sekolah Cina atau Tamil tiada nas yang melarang, maka ada kelebihannya dari sudut memberi manfaat kepada umat Islam kerana dapat mempelajari bahasa dan memahami budaya bangsa lain yang boleh membawa kepada kesefahaman antara sesama rakyat Malaysia.

“Walaupun agama Islam mengajar umatnya ucap salam sebagai ungkapan menyapa antara sesama umat Islam, tetapi tidaklah dilarang diucapkan ungkapan-ungkapan lain terhadap orang bukan Islam daripada perkataan-perkataan yang dibiasakan oleh mereka,” katanya.

Jelasnya, perlu difahami bahawa seorang Muslim boleh mengambil pendirian yang tegas atau ketat untuk diri sendiri, tetapi tidak wajar mewajibkannya kepada orang awam memandangkan kepada kemampuan manusia yang berbeza dari sudut penghayatan agama.

“Saya suka menasihatkan pendakwah dan penceramah agama supaya berhati-hati serta menggunakan hikmah dalam menyampaikan misi Islam sebagai agama rahmat untuk seluruh alam.

“Elak ungkapan atau perkataan yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak kerana ini boleh mencemarkan imej agama Islam pada pandangan orang bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata, kadang-kadang gelagat dan perkataan yang dikeluarkan penceramah agama tanpa pertimbangan dahulu boleh menimbulkan kesan sebalik apa yang dikehendaki dan menyebabkan orang membenci atau memusuhi agama.

Wan Salim mengulas mengenai pandangan seorang penceramah bebas di negeri ini yang mengharamkan gunting rambut di kedai bukan Islam dan ucapan hari jadi seperti 'happy birthday' oleh orang Islam.

Video ceramah dua tahun lalu yang kembali tular itu turut mengharamkan wanita Islam mendapatkan khidmat basuh rambut daripada bukan Islam sekalipun tukang gunting rambut itu seorang wanita.

Selain itu, penceramah tersebut turut memaklumkan bahawa haram sekiranya umat Islam menghantar anak mereka ke sekolah kelolaan bukan Islam, melainkan terdesak.

Dakwanya, umat Islam hanya dibenarkan menghantar anak ke sekolah Cina sekiranya tiada sekolah lain di kawasan kejiranan mereka.


Sumber:http://www.sinarharian.com.my/nasional/rambut-digunting-bukan-islam-harus-mufti-1.744709