Perlu Berani Merentasi Mazhab - Mufti Pulau Pinang || BHonline, 27 Jun 2018

BHonline mufti

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor ketika hadir di Menara Ilham, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

 

KUALA LUMPUR: Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata kerajaan perlu bersifat terbuka dengan mengguna pakai pendekatan mazhab lain dalam Al Sunnah Wal Jamaah bagi menyelesaikan isu nasional berkaitan Islam.

Beliau berkata, penyelesaian sesuatu isu kini mungkin boleh diperoleh daripada tiga mazhab lagi selain Syafie.

"Walaupun di dunia Melayu ini, Malaysia, Indonesia dan Selatan Thailand mengamalkan mazhab Syafie, ia tidak melarang kita memanfaatkan pandangan mazhab lain.

"Kebenaran ada di mana-mana dan sebagai umat Islam, kita yakin kerana Islam memberi penyelesaian kepada semua isu kemanusiaan. Oleh itu, kita perlu membuka minda.

"Kadang-kadang, penyelesaian itu ada pada mazhab lain. Justeru, kita perlu berani merentasi mazhab dan tidak terhad kepada satu mazhab semata-mata," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), di sini, hari ini.

Mengulas mengenai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula, Wan Salim berkata, agensi itu perlu dikekalkan dan ditambah baik bagi menyelaraskan isu Islam pada peringkat nasional.

"Pada pertemuan dengan MPK, mereka tidak terlalu menyentuh mengenai JAKIM tetapi lebih kepada fatwa dan mazhab. Bagi saya, JAKIM perlu dikekalkan supaya menyelaras hal berkaitan Islam.

"Yang penting, JAKIM tidak dipolitikkan," katanya.

Sementara itu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan konsep Islam yang lebih adil dan menyeluruh selaras aspirasi Malaysia baharu.

"Banyak perbincangan dilakukan, antara lain mengenai pendekatan Islam yang lebih adil untuk semua pihak bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Islam tetapi juga bukan Islam.

"Pendekatan lebih sesuai itu perlu dengan merangkumi semua rakyat dan bukan memfokus pada satu pihak sahaja," katanya.


 Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/06/442376/perlu-berani-merentasi-mazhab-mufti-pulau-pinang