Kerajaan pertimbang pelbagai kaedah kutuk serangan Israel | BH, 27 Mac 2019

GEORGETOWN: Kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk membentang usul bagi mengutuk serangan terkini Israel ke atas Palestin di Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata cadangan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini.

Katanya, kerajaan juga akan menganjurkan program ‘Bacaan Yasin for Aqsa’ secara serentak di seluruh negara, pada Khamis minggu depan.

“Dalam program itu, kita akan mengadakan solat hajat, bacaan Yasin dan Qunut Nazilah bagi mendoakan kesejahteraan masyarakat Islam di Palestin.

“Kita amat jelas dengan kependudukan dan penjajahan Israel di Gaza. Kita juga minta supaya keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa Gaza adalah milik Palestin turut dihormati Israel.

“Kita tetap dengan pendirian untuk terus mengutuk serangan Israel ke atas Palestin dan cadangan pembentangan usul di Dewan Rakyat mirip seperti yang pernah dilakukan beberapa tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Masjid Model Rahmah di Universiti Sains Malaysia (USM) dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Kelmarin, tentera Israel memaklumkan sudah memulakan serangan terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza, beberapa jam selepas pelancaran roket Palestin terkena sebuah rumah di Tel Aviv.

Beberapa saksi Reuters memberitahu mereka terdengar banyak bunyi letupan di Gaza.


 Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/03/546041/kerajaan-pertimbang-pelbagai-kaedah-kutuk-serangan-israel