Waktu Subuh di Pulau Pinang ditambah 8 minit mulai esok | Bernama, 7 Februari 2020

GEORGE TOWN: Waktu solat Subuh di Pulau Pinang ditambah lapan minit daripada waktu solat sedia ada berkuat kuasa esok, 8 Februari, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada Rabu dan semalam telah bersetuju mengenai penetapan permulaan waktu Subuh adalah menggunakan nilai altitud matahari 18 darjah di bawah ufuk seperti yang dipersetujui oleh Majlis Raja-raja.

"Perubahan ini hanya melibatkan waktu solat Subuh manakala waktu solat-solat lain adalah kekal sebagai mana yang tercatat pada jadual waktu solat Pulau Pinang terbitan Jabatan Mufti Pulau Pinang.

"Jadual waktu Subuh terkini boleh dirujuk dan dimuat naik di laman rasmi Jabatan Mufti Pulau Pinang atau portal e-Solat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mulai hari ini," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut portal itu, waktu Subuh di seluruh Pulau Pinang hari ini adalah pukul 6.17 pagi.

Wan Salim berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang juga telah memutuskan bahawa pelaksanaan solat Subuh berdasarkan waktu terdahulu adalah sah dan tidak perlu diqada atau ganti.

Rakyat negeri Pulau Pinang boleh merujuk kepada laman web atau laman Facebook rasmi Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang bagi mendapatkan waktu solat subuh terkini dan maklumat lanjut mengenai perubahan itu, katanya. - BERNAMA


 Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/65571/BERITA/Nasional/Fahamkan-konsep-kebebasan-tiada-paksaan-beragama