Biar pengurusan masjid tentukan: Mufti Pulau Pinang | Sinar Harian, 10 Jun 2020

SHAH ALAM - Kebenaran solat Jumaat kepada warga asing wajar diserahkan kepada pihak pengurusan surau dan masjid mengikut negeri untuk membuat pertimbangan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, bagi Pulau Pinang pihaknya tiada halangan menyerahkan kepada pengurusan masjid khususnya bagi beberapa kawasan yang dimonopoli warga asing.

Bagaimanapun menurutnya, ia mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan perlu membuat permohonan kepada pihak pengurusan masjid.

"Pada dasarnya kita ikut arahan menteri (tidak membenarkan). Tapi kalau pengurusan masjid nak guna budi bicara tu kita serah kepada mereka kerana ada masjid di kawasan perindustrian yang didominasi pendatang.

"Namun kita utamakan penduduk tempatan kerana kewajipan solat Jumaat kepada orang yang bermastautin. Warga asing bukan bermastautin. Jadi kalau ikut Mazhab Syafie di Malaysia, mereka tidak wajib Solat Jumaat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, bilangan jemaah bagi solat Jumaat di masjid di negeri itu akan ditambah kepada 40 orang manakala solat jemaah pula hanya dibenarkan seramai 15 orang yang terdiri daripada pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

"Kaedah pelaksanaan akan diserah kepada pihak pengurusan masjid sama ada membuat penggiliran atau sebagainya.

"Ada juga masjid yang masih tidak sanggup menambah bilangan jemaah lebih ramai kerana bimbang sekiranya tidak mampu mengawal orang ramai yang perlu mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu, Pendakwah Senator Ustazah Asmak Husin juga senada dan secara peribadi melihat isu solat berjemaah adalah isu hak asasi dan keperluan bagi setiap orang Islam yang berada di negara.

Bagaimanapun katanya, keutamaan kepada rakyat tempatan ada asasnya melihat kepada lokaliti terlibat seperti yang dilaksanakan negeri Pahang yang menyerahkan kepada masjid masing-masing membuat keputusan berdasarkan kesesuaian masjid.

"Pada saya, kaedah terbaik adalah kita menyerahkan kepada negeri-negeri untuk membuat keputusan kerana melihat kepada sosio budaya setempat kawasan masing-masing.

"Saya rasa itu contoh terbaik yang boleh dilakukan dalam konteks bukan bukan warganegara tetapi dengan syarat kita boleh menguruskan warganegara maksudnya dari segi isu kesihatan, pemeriksaan dan sebagainya itu dengan baik," katanya.

Sementara itu, berbeza bagi Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang bertegas bahawa pengurusan masjid perlu patuh kepada larangan untuk bukan warganegara.

Katanya, larangan yang dikeluarkan adalah berdasarkan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan wajar diberi perhatian serius.

"Untuk warganegara juga masih terhad. Kanak-kanak dan warga emas masih tidak dibenarkan. Jadi keutamaan perlu diberi kepada warga tempatan sahaja," katanya.


Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/87160/EDISI/Utara/Biar-pengurusan-masjid-tentukan-Mufti-Pulau-Pinang