Arkib Berita Tahun 2020

Sabarlah, jemaah haji: Mufti Pulau Pinang | Sinar Harian, 13 Jun 2020

GEORGETOWN - Jemaah yang tidak dapat mengerjakan ibadah haji tahun ini diharap bersabar dan faham dengan keadaan dunia yang masih belum bebas dari penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, keputusan penangguhan ibadah haji bagi tahun ini adalah untuk tujuan keselamatan bagi semua jemaah.

Menurutnya, bukan Malaysia sahaja yang tidak membenarkan ibadah haji malah beberapa lain antaranya Indonesia, Singapura, Thailand dan Kemboja turut melakukan perkara sama.

"Saya berharap mereka bersabar sehingga ke tahun depan, malah pihak TH turut mengesahkan bahawa keutamaan ibadah haji tahun depan diberikan kepada jemaah haji yang tidak dapat mengerjakan ibadah itu pada tahun ini.

"Kita perlu faham, TH menangguhkan ibadah haji adalah kerana untuk melindungi keselamatan jemaah daripada risiko dijangkiti wabak Covid-19. Tambahan pula, kes Covid-19 di Arab Saudi dilaporkan semakin meningkat.

"Situasi ini boleh menyebabkan penularan wabak berkenaan dalam kalangan jemaah haji semasa berada di tanah suci nanti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Wan Salim berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan dilihat amat sukar untuk dipatuhi kerana jumlah jemaah haji yang terlalu ramai.

"SOP kesihatan dan keselamatan mustahil dapat dilaksanakan dan sukar dikawal dalam kalangan jemaah haji kerana jumlah yang begitu ramai.

"Semoga tahun depan wabak Covid-19 akan berakhir dan jemaah haji dari Malaysia dan negara lain dapat menunaikan rukun Islam yang agung ini," katanya.

Tambahnya, kewajipan mengerjakan Rukun Islam kelima ini dikira gugur kerana ketiadaan istitha'ah (keupayaan) disebabkan wabak tersebut.

"Seandainya ada yang meninggal dunia dan tidak sempat menunaikan kewajipan ini maka, ALLAH SWT akan tetap mengampunkannya dan mengurniakan pahala yang sempurna kepadanya, insya-ALLAH," katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan bahawa Malaysia tidak akan menghantar jemaah untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini.

Beliau berkata, keputusan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/87632/EDISI/Utara/Sabarlah-jemaah-haji-Mufti-Pulau-Pinang