Mufti Pulau Pinang bukan pro Syiah || Sinar Harian, 21 September 2016

GEORGETOWN - ‘Saya bukan pro Syiah,’. demikian tegas Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata demikian selepas kecewa dengan tuduhan beberapa pihak yang mengatakannya sedemikian selepas beliau secara terbuka mengatakan penganut Syiah masih lagi Islam.

Bagaimanapun Wan Salim sekali lagi menegaskan, sebagai seorang Muslim, seseorang tidak boleh sesuka hati mengatakan orang lain kafir.

“Ia termasuklah mengatakan pengamal Syiah ini adalah kafir ataupun bukan Islam, saya cuma tidak mahu mengkafirkan mereka berdasarkan hadis yang melarang mengkafirkan Ahul Qiblah.

“Namun itu tidak bermakna saya menyokong mereka dan bererti saya bersetuju dengan segala fahaman dan tindakan golongan tersebut. Saya juga menegaskan bahawa saya tidak suka aliran ini dikembangkan di negara kita,” katanya.

Sebelum ini Mufti Pulau Pinang itu dalam satu kenyataannya di laman portal berita mengatakan aliran Syiah tetap sebahagian daripada Islam walaupun mempunyai perbezaan besar dengan aliran Sunnah.

Katanya lagi dalam laporan itu, sikap saling mengkafirkan atas perbezaan mazhab itu hanya bermanfaat kepada pihak yang mahu mengaut keuntungan melihat Islam berpecah.

Pandangannya itu bagaimanapun mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Kebajikan Asatizah Kebangsaan (Pasak).

Pasak menasihatkan supaya golongan ulama perlu lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan berkaitan isu akidah kerana ia boleh mengelirukan umat Islam selain dibimbangkan di manipulasi pihak tertentu dalam usaha mengembangkan ajaran bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Pasak turut mengingatkan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan menegaskan Syiah adalah haram untuk diikuti, disebarkan atau diamalkan.

Namun Wan Salim berkata, pendiriannya tidak bercanggah dengan keputusan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan.

Jelasnya, keputusan yang mengatakan Syiah sesat bermaksud mazhab ini menyimpang daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, bukan bermaksud menghukum mereka sebagai kafir.

“Akhirnya saya suka menegaskan saya bukanlah seorang yang pro syiah. Tetapi saya  mendambakan umat Islam kembali menjadi umat yang perkasa dan agung.

“Matlamat ini hanya boleh direalisasikan menerusi perpaduan dan saling bantu membantu antara pelbagai aliran dan mazhab Islam di samping mengetepikan perbezaan yang wujud di antara mereka.

“Tak guna diungkit peristiwa masa silam yang sudah menjadi sejarah. Kita mesti menghadapi bersama cabaran masa kini dan merancang masa hadapan yang lebih baik untuk anak cucu kita,” katanya.


Sumber:http://www.sinarharian.com.my/nasional/mufti-pulau-pinang-bukan-pro-syiah-1.564626