Tak halang hak agama lain || Sinar Harian, 16 April 2018

GEORGETOWN - Hasrat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memohon cuti khas kepada kakitangan kerajaan yang bukan beragama Islam bagi membolehkan mereka menjalankan upacara keagamaan mereka boleh diterima.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, cadangan itu hendaklah tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

 

“Sememangnya ajaran Islam menuntut pihak berkuasa supaya berlaku adil kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang agama, etnik dan budaya.

“Cuma perlu diperhatikan bahawa konsep keadilan ialah meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya yang sebenar.

“Keadilan tidak bererti menyamaratakan antara kesemua manusia. Ini fahaman komunis yang sudah terbukti kegagalannya di negara-negara tertentu yang pernah mempraktikkannya satu ketika dulu,” katanya.

Menurutnya, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan perlu ditonjolkan dalam apa jua bidang termasuk dari aspek pembangunan tempat-tempat ibadat.

“Ini bererti walaupun pihak berwajib perlu memberi kebenaran kepada masyarakat bukan Islam mendirikan rumah-rumah ibadat mereka di negara ini, namun perlulah menurut syarat-syarat dan spesifikasi tertentu termasuk daripada aspek saiz bangunan, keperluannya dan lokasi yang sesuai.

“Ini penting untuk mengelakkan sensitiviti dan perasaan tidak selesa pihak-pihak lain terutama penganut agama Islam,” katanya.

Jelasnya, mengenai cuti khas bagi membolehkan masyarakat bukan Islam menjalankan upacara agama masing-masing hendaklah juga diambil jangka masa yang munasabah dari sudut kesesuaian dan keperluannya.

“Sebagai contoh, jangka masa yang diperuntukkan kepada umat Islam bagi menunaikan fardu Haji sekurang-kurangnya antara 30 hingga 40 hari memandangkan rukun ini hanya boleh dilaksanakan di Makkah sahaja.

“Manakala upacara keagamaan bukan Islam tidak mengambil masa yang begitu lama dan boleh dibuat di mana-mana tempat jua,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang meminta kerajaan pusat untuk memberi cuti khas kepada kakitangan kerajaan bukan beragama Islam seperti yang diberikan kepada umat Islam untuk mengerjakan haji atau umrah.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, permohonan cuti khas itu bagi membolehkan penganut bukan Islam menjalankan upacara keagamaan mereka.

Beliau mengesahkan telah menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk mempertimbangkan permohonan itu.


 Sumber: www.sinarharian.com.my