Golongan kaya harus bela nasib orang miskin | Sinar Harian, 21 Februari 2020

SHAH ALAM - Saranan perkahwinan melibatkan golongan kaya dengan golongan berpendapatan rendah bagi mengurangkan kadar kemiskinan adalah sesuatu yang sangat baik dalam aspek kemanusiaan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, golongan berpendapatan tinggi atau kaya seharusnya membela nasib mereka kerana kekayaan yang dikurniakan ALLAH kepada mereka dapat dikongsi bersama dengan orang susah.

“Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kaum wanita memandangkan interaksi antara mereka dengan golongan lelaki ini terbatas terutamanya sebelum kahwin.

“Jadi kita mungkin tidak dapat mengetahui keadaan kehidupan sebenar mereka kerana kita ada sekatan-sekatan agama dan sebagainya.

“Jadi apabila berkahwin, kita boleh tahu dengan cara lebih dekat keadaan mereka dan memudahkan kita mengetahui perkara-perkara yang mereka perlukan bantuan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Menteri Koordinasi Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia, Muhadjir Effendy agar orang kaya di negaranya perlu mengahwini golongan berpendapatan rendah bagi mengurangkan kadar kemiskinan negara tersebut.

Dr Wan Salim bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada individu kerana perlu mengambil kira situasi mereka dibesarkan dalam keluarga yang susah.

“Jadi jika mereka mendapat kesenangan mungkin mereka akan lupa diri dan mendatangkan masalah kepada pasangan pula,” katanya.

Namun, katanya, ia tidak akan menjadi masalah sekiranya golongan lelaki kaya itu beriman dan boleh menurunkan kedudukan kepada si isteri daripada golongan yang miskin itu.

“Kita juga perlu melihat dalam aspek sekufu (kesepadanan) kalau keluarga yang dibesarkan dalam suasana yang mewah mungkin cara dan gaya hidup mereka berbeza, jadi mungkin payah untuk mereka untuk menyesuaikan diri dengan golongan yang miskin ini.

“Dalam Islam, kita perlu melihat dari sudut sekufu yang melibatkan pelbagai aspek termasuk pendidikan, latar belakang keluarga, di mana mereka dibesarkan, rupa paras dan sebagainya bagi menjamin kesejahteraan rumah tangga mereka,” katanya.


 Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/70953/BERITA/Nasional/Golongan-kaya-harus-bela-nasib-orang-miskin