Perutusan Ketua Jabatan

 
SSDatoMuftiWanSalim2

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT, diberikan kesempatan untuk bersua di tahun 2024. Tahun ini juga bermakna genaplah 10 tahun saya memimpin dan mengetuai Jabatan Mufti Pulau Pinang bermula Jun 2014.

Sebagai sebuah organisasi, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang harus sentiasa mengorak langkah meningkatkan prestasi perkhidmatan dan penyampaian. Sudah pasti tahun-tahun yang mendatang akan memberikan lebih banyak cabaran seiring dengan kemajuan dan perubahan serta dasar-dasar yang direncanakan oleh pihak pentadbiran tertinggi negeri atau negara.

Fatwa dan Falak tidak dapat dipisahkan dari Jabatan Mufti. Justeru menjadi harapan agar fatwa dan pandangan hukum yang dikeluarkan mempunyai justifikasi yang tepat bersandarkan kepada dalil yang disepakati. Selain itu, tanpa menafikan pandangan dan sumbangan ulama terdahulu, penulisan kitab-kitab feqah juga wajar diperbaharui agar sesuai dengan situasi semasa yang membabitkan hukum Islam.

Ilmu falak juga wajar terus diperkembangkan. Ini kerana falak mempunyai keluasan penggunaannya dalam kehidupan manusia. Cuma kadang-kadang kita tidak sedar akan penggunaan ilmu tersebut. Pusat Falak Sheikh Tahir yang ditadbir urus oleh Jabatan Mufti akan diperkembangkan peranan dan fungsinya sebagai sebuah pusat penyelidikan dan pembelajaran ilmu falak yang berwibawa.

Insya-Allah, dengan izin Allah Taala, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang akan terus berusaha agar visi dan misinya sentiasa dicapai, bergerak ke arah kemajuan dan sentiasa ke hadapan dalam menyebarkan syiar Islam.

Sekian, terima kasih.

Dato Seri Dr Wan Salim bin Wan Mohd Noor
Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Dikemaskini pada 12 Januari 2024