Arkib Berita

Kepala Batas, 28 Mac – Kitab Sabil al Muhtadin bukan sekadar kitab yang menghuraikan mengenai ilmu feqah tetapi ia juga mengandungi huraian ilmu falak yang mendalam. Ini merupakan sebahagian daripada rumusan Program Tafaqquh Falak Perdana Siri 1/2019 yang telah berlangsung di Auditorium Dewan Milennium, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Kitab Sabil al Muhtadin merupakan naskah ilmu feqah mengikut mazhab Syafie dalam Bahasa melayu Acheh yang dikarang oleh Syeikh Muhammad Arsyad al Banjari. Dalam kitab tersebut unsur-unsur ilmu falak dibincangkan dalam setiap bab pendahuluan sesuatu tajuk feqah. Pengarang kitab ini telah menggunakan kaedah sains rakyat dan kaedah bermatematik dalam menghuraikan beberapa perkara feqah yang berkaitan. Ini dijelaskan oleh Prof Madya Dr. Baharuddin bin Zainal, dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) semasa membentangkan ‘Pentahkikan Unsur-Unsur Ilmu Falak Dalam Naskhah Sabil al-Muhtadin dalam program tersebut.

Selain itu Prof Madya Dr. Baharuddin bin Zainal juga turut membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Sejarah Perkembangan Ilmu Falak di Alam Melayu’ pada sesi awal program tersebut.

Program anjuran Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang (JMNPP) ini telah mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP). Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim bin Wan Mohd. Noor, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah sudi untuk menyempurnakan majlis penutupan

Tujuan program adalah membudayakan falak kepada pelajar dan masyarakat dengan menjadikan guru-guru KAFA sebagai key communicator. Di samping itu juga, ia bertujuan menggalakkan masyarakat untuk mempelopori kegiatan-kegiatan berkaitan ilmu falak bagi meneruskan legasi ulama-ulama silam seperti al-Biruni, al-Khawarizmi, Ibnu SIna dan lain-lain lagi. Seramai 130 orang guru-guru KAFA di bawah seliaan Bahagian Pendidikan JHEAIPP telah turut serta sepanjang program ini berlangsung.