Hadapi Ujian dengan Tenang dan Sabar

Penularan wabak Covid-19 kini merupakan fenomena yang merebak di seluruh muka bumi. Sehingga kini sudah ratusan ribu manusia yang dijangkiti oleh wabak ini dan sudah banyak pula jiwa yang terkorban disebabkan jangkitan tersebut. Penularannya begitu pantas sehingga seluruh dunia menjadi kelam kabut dan berada dalam keadaan resah dan gusar. Kesemua negara terpaksa menghadapi fenomena global ini dengan mengambil langkah-langkah pencegahan yang drastik supaya penularannya dapat dikawal dan seterusnya dihentikan sama sekali.

Namun sebagai umat Islam kita perlu sedar dan memahami bahawa tidak berlaku sesuatu di langit atau di bumi melainkan dengan kehendak Allah SWT. Bila hakikat ini difahami dan dihayati maka ini dapat menimbulkan ketenangan di dalam hati. Lebih-lebih lagi bila diketahui bahawa seseorang tidak akan terkena wabak ini tanpa ketentuan daripada Allah SWT. Tentunya kita perlu berikhtiar untuk mengelak dijangkiti dengan apa juga cara yang difikir berkesan termasuk tindakan kuarantin, menjaga kebersihan diri, mengambil pemakanan yang seimbang dan jarak sosial seperti yang diarahkan oleh pihak berwajib.

Justru kita tidak perlu gusar atau berputus asa dalam menghadapi situasi sebegini, sebaliknya cuba memahami hikmah yang tersirat di sebaliknya. Kita juga perlu tahu bahawa ini adalah satu bentuk ujian daripada Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya. Ujian Allah boleh berlaku sama ada dalam bentuk kesenangan atau kesusahan, terkadang ia berlaku secara individu dan terkadang secara kolektif. ( lihat al-Qur'an, surah Al-Anbiya': 35). Para ulamak sering memperingatkan kita bahawa dunia ini bukan tempat untuk kita menetap selama-lamanya, tetapi dunia adalah tempat tinggal sementara yang penuh ujian.

Terkadang ujian Allah ternampak pada zahirnya seolah-olah keras dan kejam, tetapi bila diamati didapati ada rahmat yang tersisip di dalamnya. Di dalam Al-Qur'an ada ayat yang bermaksud, "Kemungkinan kamu membenci sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak."

Tidak mustahil ujian adalah satu cara yang menandakan Allah kasih ke atas hamba yang diuji. Ini adalah supaya dengan ujian itu dapat menyedarkan seseorang terhadap kekerdilan dirinya dan kebesaran Allah SWT. Dengan itu dia bertambah merendah diri kepada Tuhannya, lantas memohon keampunan dan bertaubat di atas segala dosa dan kesalahannya. Justru disebut di dalam sebuah hadis riwayat Tirmidhi dan Ibnu Majah, bahawa Rasulullah s.'a.w. bersabda, bahawa manusia yang paling hebat diuji ialah para anbiya' kemudian orang-orang yang hampir kedudukannya (keimanan dan ketakwaan) dengan mereka itu.

Kesimpulannya, kita hendaklah bersabar dan sentiasa tabah dalam menghadapi wabak Covid-19 dan ujian-ujian yang lain dan cuba memahami hikmah yang tersirat di sebaliknya. Janganlah kita mudah betputus asa kerana seperti yang tersebut di dalam Al-Qur'an, surah Yusuf: 87 yang bermaksud "Tiada yang betputus asa daripada rahmat Allah melainkan orang-orang yang kafir."

DATO' SERI DR. WAN SALIM MOHD NOOR
MUFTI PULAU PINANG