Laman Web Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang

Tangani Isu LGBT Menerusi Pendidikan

Penegasan bahawa Kerajaan Malaysia tidak akan berganjak daripada pendiriannya untuk tidak mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) adalah tepat dan wajar dipuji. Penegasan ini disuarakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Seri Dr. Zulkifli Muhammad Al-Bakri sebagaimana tersiar di dalam akhbar Harian Matro pada 26 Jun 2021.
 
Pendirian yang sama telah dinyatakan berulang-ulang kali oleh beberapa pemimpin kerajaan daripada pelbagai parti politik yang pernah memegang kuasa pemerintahan negara.
 
Sesungguhnya hampir keseluruhan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan penganut agama memang bersetuju dan menyokong penuh pendirian tegas kerajaan dalam isu LGBT ini. Semua orang yang waras dan normal memahami tentang keburukan gaya hidup songsang ini yang tidak diragui lagi mampu menggugat kestabilan negara dan menghancurkan kerukunan hidup rakyat pada masa hadapan.
 
Dalam usaha mencari penyelesaian yang tuntas bagi fenomena songsang ini, pelbagai pandangan dan cadangan telah dikemukakan oleh pelbagai pihak termasuk ahli politik, tokoh pendidikan, pakar psilologi , golongan agamawan dan beberapa kalangan lain. Saya secara peribadi lebih yakin bahawa cara paling berkesan untuk menangani permasahan ini adalah menerusi pendidikan sama ada formal atau non-formal.
 
Sebagaimana slogan keramat yang sering kita dengar bahawa pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan. Maka di sini ibu bapa dan para pendidik diharap mampu melaksanakan peranan masing-masing untuk mendidik kanak-kanak sejak seawal usia mereka dari sudut pembentukan sikap serta pemikiran yang betul mengenai seks dan cara yang normal untuk melayani kehendak naluri manusia supaya tidak berlaku penyelewengan yang tidak diingini.
 
Di peringkat pengajian tinggi, mungkin wajar disemak semula kurikulum yang digunakan untuk memastikan kandungannya tiada elemen-elemen negatif yang boleh mempengaruhi minda para pelajar atau mendorong mereka ke arah melakukan tindakan-tindakan yang menyeleweng daripada lunas-lunas agama dan nilai-nilai moral yang baik.
 
Fahaman-fahaman sesat seperti teori Evolusi ajaran Charls Darwin dan Psycho-analytic oleh Sigmund Freud tidak sepatutnya diajar kepada para pelajar kita. Jika didapati ada keperluan untuk tujuan akademik misalnya maka ia hendaklah dikemukakan secara kritis dengan menerangkan kepalsuan teori-teori tersebut. Sudah termaklum bahawa teori Darwinise sudah terbukti kepalsuannya atau kesalahanya menerusi perkembangan ilmu Kejuruteraan Genetik yang menegaskan bahawa manusia tidak mungkin berevolusi daripada haiwan. Manakala teori Freud yang mengatakan bahawa semua kelakuan manusia didorong oleh seks boleh ditolak dengan teori-teori pendidikan terkini yang menegaskan bahawa kelakuan manusia boleh dibentuk sejak kecil sebagaimana dikehendaki oleh ibu bapa dan diperkuatkan lagi melalui pendidikan formal di sekolah.
 
Akhir sekali kita ingin menyeru pihak-pihak yang menyokong agenda LGBT supaya segera berhenti daripada perjuangan mereka yang sia-sia. Mereka perlu sedar bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam yang menjunjung ajaran-ajaran agama dan nilai-nilai akhlak murni. Malaysia bukan sebahagian Eropah dan Amereka Syarikat yang mengalami hakisan agama dan akhlak disebabkan latar belakang sejarah tertentu sejak era Renaissance, sedangkan dalam abad-abad pertengahan dahulu masyarakat Eropah begitu berpegang teguh dengan agama dan tradisi mereka.
 
Semoga tulisan ringkas ini dapat memberi sedikit pencerahan kepada kita semua mengenai keburukan gaya hidup LGBT yang songsang untuk sama-sama kita mencegahnya demi kerukunan dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia seluruhnya.
 
DATO’ SERI DR. WAN SALIM WAN MOHD NOOR
MUFTI PULAU PINANG