Sah solat di masjid dibina daripada dana loteri || Sinar Harian, 2 Mac 2018

KEPALA BATAS - Harus dan sah. Itu keputusan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang berkaitan hukum menunaikan solat di dalam masjid yang dibina menggunakan sumber daripada ‘dana loteri’.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Mohd Noor berkata keputusan ini diambil berdasarkan beberapa hujah serta dalil dan ia ditetapkan menerusi perbincangan bersama ahli jawatankuasa dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 18 dan 19 Disember tahun lalu.

“Mesyuarat fatwa memutuskan bahawa hukum membina masjid daripada sumber haram seperti dana loteri kebajikan masyarakat adalah haram setelah meneliti keterangan serta hujah dan dalil.

 

“Bagaimanapun, harus hukumnya bagi didirikan solat Jumaat atau fardu yang lain di masjid sedemikian kerana hukum haram adalah bagi membinanya sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi penjelasan mengenai isu itu bersama ahli kariah Masjid Rantau Panjang, hari ini.

Katanya, hukum berkenaan terpakai bagi semua masjid yang dibina menggunakan sumber loteri di seluruh negeri itu dan pihaknya akan mewartakan fatwa terbabit bagi mengelakkan keraguan.

“Isu ini mula timbul sekitar tahun 60an, namun ia mula dibincangkan anak-anak kariah hingga wujud perasaan ragu-ragu untuk bersolat di dalam masjid yang dibina menggunakan sumber haram.

“Kita tidak mahu ia berlarutan dan membuat keputusan supaya ia dapat diselesaikan segera dengan mengambil kesempatan menerangkan kepada ahli kariah dan mewartakan hukum ini,” katanya.


 Sumber: www.sinarharian.com.my