Tak tahu, tak berdosa makan daging diragui status halal, 28 Disember 2020 | Berita Harian

GEORGETOWN: Umat Islam dianggap tidak berdosa jika sebelum ini termakan daging yang diragui status halalnya, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata, umat Islam juga tidak perlu bimbang atau takut jika merasakan melakukan dosa kerana termakan daging tidak halal dalam keadaan tidak mengetahui statusnya.

Katanya, sebelum isu status halal daging import dibongkar pihak berkuasa dan menjadi kontroversi, semua orang tidak mengetahui apa-apa, maka orang memakannya tidak berdosa.

Berikutan itu, beliau berkata, apa yang berlaku sebelum ini adalah perkara lalu yang bukan disengajakan dan diharap memberi petunjuk kepada semua untuk meninggalkan makanan yang 'syubhah' (meragukan).

"Dulu kita tidak tahu apa-apa, maka ia tidak berdosa dan selepas ini wajib untuk kita meninggalkannya (makan daging diragui status halal) yang menimbulkan keraguan.

"Maka, dalam isu ini umat Islam tidak perlu bimbang dan takut," katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

 Media sebelum ini melaporkan taktik kartel menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina ke negara ini.

Kartel yang dipercayai melakukan kegiatan sejak 40 tahun lalu itu membungkus semula daging menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh negara.

Kegiatan itu terbongkar hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor pada 1 Disember lalu.

Wan Salim menambah, daging yang berada di pasaran itu halal kerana ia haiwan ternakan dan bukannya najis tetapi isu berkenaan timbul kerana cara penyembelihan dikatakan tidak mengikut syariat Islam.

"Bagaimanapun, umat islam diminta berhati-hati dan merujuk kepada pihak berkaitan supaya tidak terbeli benda yang syubhah (meragukan)," katanya.


 Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/769782/tak-tahu-tak-berdosa-makan-daging-diragui-status-halal-mufti
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf