AYAT-AYAT AHKAM

 

Firman Allah dalam surah
al-Baqarah ayat159-160:

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan yang jelas dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya, kepada manusia dalam al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati pula oleh semua makhluk yang dapat melaknati; kecuali mereka yang telah bertaubat dan mengadakan kebaikan; dan menerangkan kebenaran, maka terhadap mereka itulah Aku menerima taubatnya dan Akulah yang maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayang.

Ayat tersebut diturunkan terhadap ahlul-Kitab dari para pendeta Yahudi dan Nasrani, yang menyembunyikan hukum-hukum Allah yang terkandung di dalam kitab-kitab mereka. Ayat-ayat Allah telah diubah dan diselewengkan menurut hawa nafsu mereka didorong oleh rasa dengki dan benci.

Namun, ayat tersebut jelas dinyatakan secara umum yang mana ditujukan kepada sesiapa sahaja hatta kepada umat Nabi Muhammad agar mengambil pedoman untuk tidak menyembunyikan satupun hukum Allah malah wajib menyampaikan ilmu agama untuk disebar luaskan.

HADIS PILIHAN

 


Hadis Riwayat Bukhari

Daripada Abu Mas'ud Uqbah bin Amru Al-Ansari Al-Badri r.a. katanya: Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya dari perkataan para Nabi (sebelum Nabi Muhammad SAW yang sama pada semua Nabi) yang sampai kepada manusia ialah: Jika tidak malu maka perbuatlah sesuka hatimu.

Malu yang dimaksudnya ialah menahan diri dari melakukan pekerjaan aib dan mengawalnya dari melakukan sesuatu perbuatan atau meninggalkan sesuatu perbuatan dengan takutkan hukuman yang berupa celaan.

Sesungguhnya sifat malu adalah satu ciri kebaikan di mana manusia gemar padanya dan mereka berpendapat bahawa ketiadaan sifat malu itu adalah merupakan satu kekurangan dan keaiban kerana malu itu adalah dari kesempurnaan iman. Sebagaimana hadis riwayat Bukhari dan Muslim:

"Malu adalah cabang dari cabang-cabang keimanan."
dan
"Malu itu tidak akan datang meliankan dengan kebaikan."

ISU SEMASA
 

Puasa dan Konsep Pengorbanan Dan Kesabaran.

Dari Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah saw bersabda:

Puasa itu adalah perisai, maka janganlah kamu berkata buruk dan berbuat kebodohan, apabila ada seseorang yang hendak memerangimu atau mengumpatmu maka berkatalah: Sesungguhnya aku sedang puasa, dua kali.

Puasa merupakan satu bentuk latihan, ujian dan dugaan dan rahmat Allah kepada hamba-Nya. Puasa merupakan satu bentuk pendidikan kepada jiwa, serta melatihnya erti kesabaran dan ketabahan hati dalam menghadapi sebarang bentuk kesulitan dan kesukaran di jalan Allah. Puasa menumbuhkan semangat ketetapan hati dan kemahuan yang keras, dan menjadikan seorang Muslim itu berkuasa atas hawa nafsu dan keinginan-keinginannya.

Dalam diri manusia terdapat dua perkara yang sentiasa menjadi keinginan. Dan manusia kebanyakan gagal mengawal dua perkara ini sehinggalah mereka sanggup mengingkari dan melanggar perintah Allah dan Rasullnya. Itulah dia nafsu makan dan minum dan nafsu syahwat.

Ibadat puasa sesungguhnya mengajar dan mendidik manusia bagaimana cara mengawal kedua-dua keinginan tersebut. Pengharaman makan minum di siang hari dan pengharaman melaksanakan tuntutan syahwat pada siang hari yang telah menjadi kebiasaan dan rutin harian, sesungguhnya memerlukan tahap pengorbanan dan kesabaran yang tinggi.

     

 

 

 

 

 

BICARA ISU FALAK

Sains dan agama pernah dilihat sebagai satu pertembungan dan pertentangan yang maha hebat yang tidak mungkin akan bersatu. Hakikatnya, Islam amat menyanjungi ilmu sains yang terpimpin dalam mencari kebenaran dan kekuasaan Allah SWT. Justeru wujudlah istilah Sains Islam yang sinonim dengan kegemilangan saintis-saintis Islam sejak zaman Khulafak Ar Rasyidin dan Kegemilangan Andalusia. Penemuan-penemuan sains yang terbaru sering menjadi kebanggan saintis pada hari ini tanpa mereka sedari bahawa Allah SWT telah terlebih dahulu menerangkannya di dalam Al-Quran. Akhirnya dapat disimpulkan bahawa ilmu sains yang wujud pada hari ini dan segala kehebatan penemuannya adalah berasaskan ilmu dari Al-Quran dan memandu manusia supaya lebih mengenali Allah SWT dengan lebih jelas disamping mempermudahkan segala amal ibadat kepada-Nya.