Mufti jelas salah faham kenyataan kibar bendera putih | Sinar Harian, 2 Julai 2021

GEORGETOWN - Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor tampil menjelaskan mengenai salah faham masyarakat mengenai pandangannya berkaitan mengibar bendera putih.

Beliau menegaskan tujuannya menyatakan pandangan yang tidak bersetuju dengan tindakan itu adalah semata-mata didorong kebimbangan ia boleh menggugat akidah seorang Muslim.

Jelasnya, perkara berkenaan boleh berlaku jika tindakan itu bermotifkan sikap berputus asa daripada rahmat Allah SWT dan tidak bersabar terhadap ujian-Nya.

"Tidak terlintas sama sekali di hati saya untuk menghalang tindakan tersebut jika ia difikirkan boleh dijadikan satu cara berkesan untuk menyedarkan pihak berkuasa dan masyarakat awam serta memudahkan semua pihak menghulur bantuan kepada golongan yang memerlukan.

"Selain daripada itu kenyataan saya sebelum ini juga bertujuan untuk memperbetulkan persepsi salah sebahagian rakyat terutama mereka yang terjejas pendapatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bahawa pihak-pihak berkenaan mengabaikan tanggungjawab sosial terhadap mereka.

"Sebaliknya, nasib mereka sentiasa mendapat perhatian dan sedia dibantu dan dibela oleh pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan negeri di samping agensi-agensi dan institusi-institusi tertentu termasuk Pusat Pengurusan Zakat setiap negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Dr Wan Salim berkata, perlu diperingatkan bahawa dalam kenyataan tersebut juga saya telah menggesa pihak berkuasa dan agensi-agensi kerajaan supaya bertindak lebih intensif dan agresif dalam usaha membantu golongan yang terjejas pendapatan dalam tempoh PKP.

Tambahnya, beliau juga menyeru syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat swasta supaya turut membantu untuk meringankan kepayahan hidup golongan berkenaan.

"Saya ingin memohon berbanyak-banyak kemaafan daripada semua pihak di atas kekeliruan yang timbul daripada kenyataan saya mengenai isu ini,"katanya.

Pada Khamis, Dr Wan Salim dalam satu kenyataan berkata cadangan mengibarkan bendera putih sebagai usaha menzahirkan kesusahan hidup yang dihadapi akibat terjejas pendapatan ekoran PKP untuk menagih bantuan dilihat sebagai satu tindakan tidak wajar.

Beliau berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana ia mencerminkan sikap berputus asa dan mengalah terhadap situasi yang dihadapi.

Menurut beliau, umat Islam dilarang untuk berputus asa serta cepat mengalah kepada kesusahan hidup.


Sumber :https://www.sinarharian.com.my/article/147707/EDISI/Mufti-jelas-salah-faham-kenyataan-kibar-bendera-putih
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf