Arkib Keratan Akhbar Tahun 2015

Sunah mencerap waktu Ramadan

Sunah mencerap waktu Ramadan
Wartawan Sinar Harian16 Jun 2015

Sunah mencerap waktu Ramadan
BALIK PULAU - ‘Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung, setelah diperkenankan oleh Duli Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja maka adalah dengan ini, saya mengisytiharkan bahawa tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari….’.

Dialog berkenaan dinanti-nanti oleh semua umat Islam di hadapan televisyen.

Namun tahukah anda, ahli falak antara individu yang begitu penting bagi membolehkan pengumuman itu diumumkan secara lancar saban tahun.

Pusat Falak Sheikh Tahir yang terletak di Sungai Acheh Balik Pulau diantara balai cerap paling lama wujud di negara ini.

Sehingga kini balai itu satu-satunya lokasi cerapan utama di Pulau Pinang.

Sinar Harian berpeluang menemui Ketua Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, Mohd Hanif Omar bagi mengulas kepentingan cerapan yang dilakukan saban tahun ini.

Sunah mencerap anak bulan

Hukum mencerap bagi menentukan kenampakan anak bulan Ramadan adalah sunah.

Mohd Hanif berkata, terdapat kes sebelum ini yang mana ada individu mempertikaikan aktiviti cerapan tersebut.

Menurutnya, ada pihak mengatakan tidak perlu mencerap kerana sememangnya masuk tarikh 1 Ramadan, semua orang akan puasa.

“Sebenarnya pandangan ini salah, ini kerana mencerap itu adalah sunah, dan sudah dilakukan sejak dari zaman Nabi Muhamad SAW.

"Pencerapan ini juga dilakukan bagi mengelakkan kekeliruan yang mungkin timbul dalam masyarakat sendiri,” katanya ketika ditemui di Pusat Falak Sheikh Tahir, semalam.

Mohd Hanif berkata, aktiviti cerapan hilal atau cerapan anak bulan sebenarnya dilakukan setiap bulan.

Jelasnya, bagaimanapun masyarakat hanya mengetahui proses cerapan dilakukan pada bulan popular iaitu Ramadan, Syawal dan Zulhijah.

"Sebenarnya, proses cerapan dilakukan setiap bulan bagi menentukan dengan tepat tarikh bulan-bulan Islam mengikut kalendar Hijrah," katanya.

Beliau berkata, kakitangan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang membuat cerapan pada setiap hujung bulan Islam.

Jelasnya, proses cerapan dilakukan bermula dari jam 6 petang hingga 9 malam.

“Di Pulau Pinang, kita mempunyai tujuh individu yang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.

“Mereka terdiri daripada Mufti Pulau Pinang, ketua hakim syarie, pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP), pegawai tadbir agama daerah, pengarah jabatan ukur dan pemetaan serta ahli falak,” katanya.

Lakukan aktiviti cerapan di tempat gelap

Penerangan lanju8t mengenai aktiviti cerapan, Mohd Hanif berkata, terdapat pelbagai cabaran dan halangan yang boleh berlaku sepanjang proses mencerap.

Menurutnya, dalam pencerapan astronomi, cahaya buatan manusia seperti cahaya lampu jalan, bangunan dan kenderaan merupakan suatu bentuk pencemaran yang dikenali sebagai pencemaran cahaya kerana mampu merendahkan kualiti imej pencerapan.

"Pencemaran atmosfera juga boleh merendahkan kualiti imej pencerapan, kerana atmosfera yang tercemar boleh membiaskan cahaya ataupun menyerap cahaya dari objek cerapan.

"Oleh itu, balai cerap dibina di kawasan yang jauh dari bandar, kawasan industri dan kawasan berpenduduk padat yang biasanya mempunyai atmosfera tercemar," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sendiri pernah cuba mengubah tempat cerapan seperti di Kepala Batas dan sebagainya, namun faktor cahaya mengganggu proses cerapan.

“Bagaimanapun di Sungai Acheh pada waktu malam ia amat sesuai kerana keadaan begitu gelap dan paling sesuai untuk melihat anak bulan tanpa gangguan,” katanya.

Istimewanya, hanya balai cerap di Sungai Acheh itu jugalah yang mampu melihat matahari terbenam dan tidak dapat dilihat dari mana-mana tempat termasuk Komtar dan Bukit Bendera.

Tambahnya, puncak Bukit Bendera tidak sesuai untuk membuat cerapan matahari terbenam kerana dihalang pokok-pokok besar.

Itulah istimewanya Pusat Falak Sheikh Tahir yang kini begitu dikenali dalam kalangan pengkaji dan pelajar meminati ilmu astronomi.