Arkib Keratan Akhbar Tahun 2015

Mufti Pulau Pinang - Hafazan saja tidak memadai (SINAR HARIAN : 4 Ogos 2015)

 

GEORGETOWN - Hafazan al-Quran dan hadis semata-mata tidak memadai untuk melahirkan ilmuwan berwibawa dalam mendepani cabaran dunia moden yang kompleks.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pengurusan institusi terbabit perlu merancang kurikulum dan sukatan pengajian komprehensif dengan memuatkan subjek Fiqul Hadis atau Ilmu Hadis Dirayah.

 Menurutnya, ia membincangkan kaedah tepat dalam memahami hadis dan pengaplikasiannya dalam suasana semasa yang berbeza dengan masa silam.

“Kurikulum dan sukatan pengajian sedemikian amat penting untuk mengelak penyebaran hadis palsu dalam masyarakat selain menghindari kecelaruan pengaplikasiannya dalam kehidupan.

 “Kesilapan sudut ini tidak kurang bahayanya terhadap negara dan umat daripada hadis palsu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Berikutan itu, beliau meminta pengurusan Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang (DHPP) mengambil kira soal kesepaduan ilmu dalam penggubalan kurikulum dan sukatan pengajiannya.

 "Ia penting dalam melahirkan graduan yang lebih mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan dunia semasa dan akan datang," katanya.

Sinar Harian semalam, melaporkan, Mudir DHPP, Mohamad Hanif Haron menyebut setiap pelajar diwajibkan menghafal al-Quran terlebih dahulu sebelum mendalami pengajian hadis.

 Menurutnya, banyak pihak terkeliru dan beranggapan ia menerapkan pengajian hadis semata-mata. Ini kerana katanya, matlamat DHPP melahirkan pelajar hufaz dan muhaddisin iaitu mereka yang pakar hadis serta dapat menterjemahkan al-Quran dalam bentuk praktikal.

 Dalam pada itu, Wan Salim berkata, pada dasarnya, beliau menyokong semua usaha untuk meningkatkan pendidikan Islam di negara ini, termasuk melahirkan ilmuwan yang mempunyai kepakaran dalam bidang pengajian hadis.

 “Tidak dinafikan bahawa apa juga usaha atau projek yang dibuat akan ada kelemahan dan kekurangan, terutama pada peringkat awal perjalanannya.

“Namun, kita yakin jika ada keikhlasan dan kesungguhan pengurusanserta semua yang terlibat, segala kelemahan akan dapat diatasi,” katanya.

 Bagaimanapun, menurutnya, pihak berkuasa seperti Majlis Agama Islam negeri (MAIN) perlu memantau sukatan pengajian dan guru yang mengajar di institusi pengajian hadis untuk mengelak masalah dan kekeliruan.

 “Sepatutnya institusi seperti ini diwajibkan berdaftar dengan bahagianPengajian Swasta Kementerian Pendidikan dan Bahagian Pendidikan di jabatan agama negeri bagi penyelarasan kurikulum dan sukatan pengajian selain menjamin kebajikan guru dan pelajar.

 “MAIN mungkin boleh wujudkan peraturan bagi memastikan institusi dan sekolah tahfiz al-Quran serta hadis beroperasi dengan amanah dan telus,” katanya.

berita JMNPP

Surat kebenaran operasi DHPP dari Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Pulau Pinang. Gambar kanan: Surat pelepasan cukai dari Zakat Pulau Pinang kepada DHPP. Gambar kecil: Wan Salim.