Arkib Keratan Akhbar Tahun 2016

Terpadam sebutir bintang di langit || Sinar Harian, 16 September 2016

GEORGETOWN - Sejak muda beliau sudah mula disegani, itulah reaksi Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor ketika membicarakan mengenai, Datuk Dr Haron Din.

Wan Salim berkata, dia pernah bersahabat dengan Allahyarham selama beberapa tahun ketika menuntut di Universiti Al-Azhar sekitar tahun 1970 an.

“Ketika menuntut di Kaherah, Haron Din memang dihormati oleh para pelajar Melayu di sana kerana keilmuannya, kecerdasan fikirannya dan juga kerana keperibadiannya yang baik.

“Memang dia antara pelajar yang cemerlang. Saya masih ingat ketika diadakan viva tesis PhD beliau, penyelianya sendiri memuji kepandaian dan kelebihannya berbanding pelajar-pelajar Malaysia lain yang pernah diselia oleh profesor yang sama sebelum itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, Allahyarham seorang yang mempunyai akhlak yang baik termasuk merendah diri, peramah dan mudah bermesra dengan siapa sahaja.

“Beliau bergaul dengan segenap peringkat tanpa membezakan kedudukan. Malah beliau bersahabat dengan orang-orang Mesir juga.

“Saya pernah diajak bersama dengannya ke rumah seorang askar Mesir di sebuah kampung di pedalaman, dan di sana kami menginap selama tiga hari.

“Setelah pulang ke Malaysia hubungan antara kami agak renggang disebabkan berjauhan tempat kerja dan sibuk dengan kerjaya masing-masing,” katanya.

Namun begitu, Wan Salim memberitahu beliau berkesempatan bertemu dengan Allahyarham melalui program-program ilmu di pelbagai tempat terutama di Kuala Lumpur.

Beliau yang turut bersedih dengan pemergian tokoh agama itu turut berpendapat Haron Din seorang ulama Melayu kontemporari yang terbilang dan sukar dicari ganti.

“Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat Ilahi. Diucapkan takziah kepada keluarga beliau. Terpadam sebiji lagi bintang di langit negara ini. Hanya ALLAH SWT sahaja yang tetap hidup selama-lamanya,” katanya.


Sumber: http://www.sinarharian.com.my/nasional/terpadam-sebutir-bintang-di-langit-1.563157