Arkib Keratan Akhbar Tahun 2017

‘Penentang Dr Zakir Naik jangan jadi burung unta’ || Sinar Harian, 6 Mac 2017

PERAI - Penentang kepada penceramah terkenal dari India, Dr Zakir Naik diingatkan supaya tidak menjadi seperti burung unta, tegas Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Mohd Noor.

Menurutnya, tindakan mereka memfailkan saman terhadap pendakwah berkenaan dan  Kerajaan Malaysia atas dakwaan mengancam keselamatan negara ternyata gagal menyembunyikan niat dan tujuan mereka yang sebenar iaitu sikap mereka yang taksub di samping takut kepada kebenaran.

"Saya ikuti dengan perasaan jengkel tindakan 19 individu memfailkan saman terhadap pendakwah antarabangsa Dr. Zakir Naik bersama Kerajaan Malaysia.

"Sikap sedemikian boleh diumpamakan seperti burung unta yang menyembunyikan kepala di dalam pasir kerana takut dikejar sedangkan punggungnya terdedah kepada pemburu,"katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Wan Salim berkata, Dr Zakir Naik adalah seorang pakar perbandingan agama yang sederhana, bersikap terbuka dan sentiasa mengalu-alukan dialog dan perbincangan yang rasional berdasarkan hujah-hujah akademik.

Menurutnya,orang bukan Islam seharusnya perlu mengambil kesempatan daripada kehadiran beliau di negara ini untuk mengenal serta memahami agama Islam dengan lebih tepat dan jelas.

"Saya ingin menasihatkan kumpulan ini dan sesiapa yang bersikap seperti dengan mereka supaya menyingkirkan 'Islamofobia' dan cuba menilai pandangan Dr Zakir Naik secara rasional tanpa prasangka dan taksub,"katanya.


http://www.sinarharian.com.my/nasional/penentang-dr-zakir-naik-jangan-jadi-burung-unta-1.638605