Orang Islam wajar bekerjasama: Mufti Pulau Pinang | SinarHarian,20 Oktober 2019
SHAH ALAM - Kerjasama umat Islam wajar dalam usaha memperkasakan kedudukan mereka termasuk ekonomi supaya setanding dengan umat lain.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, kerjasama itu boleh dilakukan termasuk mempromosikan produk orang Islam di kawasan masjid.
Bagaimanapun katanya, promosi dan perniagaan perlu dipastikan tidak diadakan di ruang solat yang mengganggu jemaah atau membuat bising.
"Memanglah pada asalnya masjid dibangunkan untuk beribadat kepada ALLAH SWT seperti disebut dalam al-Quran, surah al-Jinn ayat 18 tetapi bidang ibadat dalam Islam tidak terhad dalam ibadah yang khusus seperti solat, zikir, iktikaf dan membaca al-Quran sahaja.
"Ia turut mencakupi segala aktiviti kehidupan termasuk ekonomi dan perniagaan," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menurutnya, kunci yang mengalihkan kesemua kegiatan hidup menjadi ibadat terletak kepada niat mengerjakan sesuatu untuk mencari keredaan ALLAH seperti dalam Surah al-An'am ayat 162," katanya.
Beliau berkata, tiada larangan dalam Islam bagi menggalakkan mereka bekerjasama antara satu sama lain asalkan dalam perkara baik.
"Ini boleh difahami sebagai menyahut seruan ALLAH kepada umat Islam supaya saling tolong-menolong melaksanakan kebajikan dan ketakwaan seperti dalam surah al-Maidah ayat dua.
"Cuma perlu diingat bahawa kerjasama antara masyarakat Islam janganlah menyebabkan kaum lain teraniaya atau yang bertujuan memusuhi sesiapa. Tegahan ini dapat difahami juga daripada surah ini," katanya.