Arkib Keratan Akhbar Tahun 2020

Ahli politik jangan terlalu pentingkan kuasa | Sinar Harian, 25 Februari 2020

GEORGETOWN - Pemimpin negara terutama yang beragama Islam diingatkan sentiasa berhati-hati dalam supaya tidak terlalu mudah terperangkap dengan corak politik Machiavelli yang mementingkan kuasa.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ahli politik juga diingatkan tidak mementingkan matlamat perebutan kuasa sehingga melanggar batas agama dan moral.

Menurutnya, semua pemimpin politik perlu jujur terhadap rakyat yang telah memberi mandat kepada mereka untuk mengendalikan pemerintahan melalui Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Sebagai mufti, saya sepatutnya menjauhkan diri daripada mencampuri urusan politik kerana tugas utama ialah memberi pandangan mengenai hukum isu berkaitan agama (Islam) serta menasihati umat Islam mematuhi hukum tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, perkembangan politik negara kini menyebabkan beliau terpanggil untuk mengingatkan pemimpin politik terbabit.

Wan Salim berkata, peralihan kuasa sepatutnya dilakukan dalam pilihan raya umum (PRU) yang akan datang dengan suasana aman dan tenteram.

"Biarlah kerajaan yang dipilih rakyat melaksanakan tanggungjawab mereka sehingga PRU yang akan datang. Pada waktu itu, bersainglah secara sihat jika mahu menukar kerajaan menerusi saluran demokrasi.

Tambahnya, perbuatan menukar kerajaan melalui pintu belakang bukan sahaja tidak selaras dengan sistem demokrasi malah boleh disifatkan sebagai mengkhianati amanah rakyat.

"Melalui al-Quran, ALLAH SWT melarang keras umat Islam mengkhianati amanah yang sepatutnya dipikul dengan jujur dan ikhlas malah Nabi Muhammad SAW bersabda tidak sempurna iman seorang yang tidak beramanah.

"Takutlah kepada ALLAH SWT dan ingatlah kepada hari akhirat. Pada waktu itu, masing-masing akan berhadapan dengan pengadilan Ilahi yang akan menentukan kesudahan nasib seseorang sama ada mendapat nikmat syurga yang abadi atau akan terseksa dalam neraka," katanya.


 Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/71355/BERITA/Nasional/Ahli-politik-jangan-terlalu-pentingkan-kuasa