Arkib Keratan Akhbar Tahun 2021

Tangani isu buli melalui pendidikan akhlak: Mufti | Sinar Harian, 14 Disember 2021

GEORGETOWN - Gejala buli di institusi pengajian termasuk sekolah yang masih berleluasa berpunca daripada kegagalan pendidikan agama dan moral.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, gejala itu juga didapati berkait rapat dengan ketandusan nilai akhlak dan kepincangan adab dalam kalangan pelajar.

Sehubungan itu katanya, pihak bertanggungjawab terutama Kementerian Pendidikan perlu mencari jalan penyelesaian segera untuk menangani masalah berkenaan.

"Saya berpandangan gejala ini menunjukkan kurikulum pendidikan agama dan moral yang diguna pakai di sekolah-sekolah kebangsaan kita selama ini gagal atau kurang berkesan dalam pembentukan sahsiah pelajar.

"Mungkin ibu bapa juga patut dipertanggungjawabkan kerana menyerahkan pendidikan moral anak-anak sepenuhnya kepada sekolah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun beliau mengakui tidak wajar menuding jari kepada mana-mana pihak dalam masalah ini kerana tanggungjawab pendidikan moral atau akhlak perlu dipikul bersama oleh ibu bapa, sekolah, masyarakat dan media.

Katanya lagi, semua pihak tidak seharusnya memandang remeh terhadap pendidikan agama dan moral kerana terbukti bahawa gejala buli adalah berpunca daripada kekurangan nilai akhlak dan adab pelajar.

"Kementerian Pendidikan perlu berusaha menambah baik kurikulum pendidikan akhlak dan moral di sekolah termasuk dalam konteks amalan atau praktikal supaya lebih berkesan.


Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/177883/BERITA/Nasional/Tangani-isu-buli-melalui-pendidikan-akhlak-Mufti
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf