Arkib Berita Tahun 2022

Seminar Isu Kefatwaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2022

Perai, 19 Julai 2022M - Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang (JMNPP) dengan kolaborasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Seminar Isu Kefatwaan Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2022 yang bertempat di Grand Ballroom, Hotel Ixora. Seminar sehari yang bertujuan memberikan penjelasan berkenaan pandangan hukum terkini telah disempurnakan perasmian oleh Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr Wan Salim bin Wan Mohd Noor, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
 
Selain itu, melalui kolaborasi ini juga, ia memberi ruang untuk membawa isu-isu yang telah dibuat kajian di peringkat negeri Pulau Pinang kepada JAKIM untuk diwartakan di peringkat nasional kerana terdapat banyak isu-isu yang bukan sahaja melibatkan negeri sahaja, bahkan memberi kesan di peringkat nasional. Seminar ini telah mendapat penyertaan sekurang-kurangnya seramai 200 peserta dari seluruh pelosok Pulau Pinang. Terdapat juga peserta yang hadir secara atas talian di laman rasmi Facebook Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang.
 
Sesi pembentangan seminar dimulakan dengan Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan JAKIM, Ustazah Nor Safira binti Zainal berkenaan Peranan JAKIM dalam isu-isu kefatwaan. Seterusnya Seminar ini terbahagi kepada tiga sesi yang berbincang mengenai isu-isu yang berbeza dan dibentangkan oleh pembentang-pembentang yang berpengalaman dan berpengaruh.
 
Isu-isu yang menjadi bahan perbincangan adalah Hukum Penggunaan Pelaris dan Pendinding Dalam Kalangan Peniaga di Pulau Pinang, Hukum Nikah Tanpa Persetujuan Wali di Luar Negara dan Status Kisah dan Petua Keagamaan Yang Tular Dalam Masyarakat Islam di Pulau Pinang dan Hukum Penyebarannya Berdasarkan Kitab Nuzhat al-Majalis. Antara pembentang-pembentang yang hadir adalah Prof Madya Dr. Mohd Nizam bin Sahad dari USM, Dr. Mohd Hapiz bin Mahaiyadin dari UiTM, Dr. Roshimah binti Shamsudin dari USM dan lain-lain. Program ini diakhiri dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderahati kepada para pembentang.

 Bahan seminar boleh dimuat turun di pautan berikut: https://bit.ly/SIKNPP22-bahan