Perpaduan umat Islam tanpa syarat, perangi zionis Israel | Harian Metro, 6 Ogos 2024
Apabila bangun sahaja daripada tidur dan selepas selesai menunaikan solat Subuh, kita sudah membayangkan apakah sarapan untuk diambil pada pagi itu... roti canai, nasi lemak, mihun goreng dan sebagainya.
Namun, berbeza sekali dengan saudara kita di Palestin yang apabila bangun sahaja daripada tidur, fikiran terus tertumpu kepada usaha menyelamatkan diri daripada terus dibelenggu kekejaman tentera zionis Israel.
Ketika kita enak bersarapan pagi dengan roti canai dan teh tarik di warung dan restoran di Malaysia, saudara kita di Palestin pula bertarung nyawa untuk mendapatkan 'sesuap roti'. Ini gambaran fenomena yang berlaku di Palestin apabila saban hari hak mereka dirampas, dizalimi dan dianiayai daripada rejim zionis Israel dan proksinya Amerika Syarikat.
Kekejaman dan kezaliman regim Israel zionis diteruskan apabila mereka melakukan tindakan bacul dengan membunuh pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran ketika beliau tidur di penginapannya.
Tindakan zionis ini menunjukkan sifat mereka yang pengecut sehingga sanggup membunuh secara 'pukul curi' yang sangat memalukan.
Mereka beranggapan dengan pembunuhan Ismail Haniyeh mereka dapat menewaskan pejuang Palestin secara keseluruhannya. Anggapan mereka silap kerana tindakan bunuh curi yang dilakukan itu akan menambahkan semangat Pejuang Palestin untuk terus berjuang .
Seorang Ismail Haniyeh yang syahid, akan lahir lebih ramai 'Ismail Haniyeh' yang akan memimpin perjuangan rakyat Palestin membebaskan diri dari cengkaman zionis, seterusnya usaha membebaskan Masjidil Aqsa dapat dilaksanakan.
Realitinya sekarang ini, keadaan di Palestin amat menyedihkan, saban hari berhadapan kekejaman rejim zionis Israel. Bahkan setiap hari rakyat Palestin dibom dan dibunuh oleh tentera rejim.
Kehidupan sangat sulit dan mencabar. Boleh dikatakan setiap hari ada masalah. Selain pembunuhan dan kekejaman itu, rejim zionis juga masih meneruskan usaha mengorek bawah tanah Masjid al-Aqsa kononnya untuk mencari Haikal Sulaiman sehingga menyebabkan struktur masjid dan bangunan berhampiran semakin goyah.
Memang itu yang mereka kehendaki... iaitu meruntuhkan Masjid al-Aqsa!.
Apakah Yahudi dapat diusir keluar daripada bumi Palestin?
Semuanya bergantung pada kekuasaan Allah. Kalau dikehendaki Allah, maka Yahudi akan dapat diusir daripada bumi Palestin. Tetapi, secara realitinya sekarang ini, mengusir Yahudi dari bumi Palestin seakan-akan suatu perkara yang sukar.
Hal ini kerana tidak wujudnya keseimbangan dari sudut kekuatan dan kelengkapan ketenteraan di antara Israel dan Palestin. Boleh dikatakan bahawa kekuatan tentera Palestin adalah 'kosong', manakala ketenteraan dan kekuatan Israel pada waktu ini amat hebat, sehinggakan mereka bukan sahaja dapat meranapkan Palestin, bahkan dapat menentang semua negara Arab yang berjiran dengan Palestin.
Di samping itu, keadaan dunia umat Islam yang agak 'tenat' dan 'sakit' pada zaman ini memberikan lagi kelebihan kepada Israel dalam menghadapi umat Islam sejagat.
Oleh itu, umat Islam tidak boleh membuang masa begitu sahaja, sebaliknya hendaklah bekerja lebih gigih dan kuat sebagaimana yang dikehendaki dalam ajaran Islam.
Sebagaimana janji Rasulullah, umat Islam akan kembali menguasai Palestin dan membebaskan Masjidil Aqsa, namun ia tidak akan berlaku tanpa pengorbanan dan kesatuan dalam kalangan umat Islam.
Justeru, kita amat mengharapkan supaya perpaduan dan kesatuan umat Islam dapat dilaksanakan secepat yang mungkin.
Umat Islam hendaklah duduk berbincang demi mewujudkan perpaduan dan kasih sayang dalam kalangan umat Islam.
Musuh kita ialah bukan sesama Islam, tapi yang jelasnya ialah musuh kita ialah rejim zionis Israel yang juga penceroboh dan yang bertindak zalim.
Kita sangat yakin rejim zionis boleh ditewaskan. Kalau tidak hari ini... esok dan kalau bukan esok... lusa.
Sehubungan itu, tidak ada pilihan dan tidak cara lain lagi melainkan kita mestilah bersatu. Persengketaan dan pergeseran sesama kita hanya merugikan kita sendiri dan hendaklah ditamatkan serta-merta kerana keadaan ini akan diambil kesempatan oleh rejim zionis untuk terus mencengkam kuasanya ke atas umat Islam terutama di Palestin.
Oleh itu, diharapkan supaya persengketaan dan perselisihan sesama kita dapat diselesaikan di meja rundingan dan perbincangan secepat mungkin.
Umat Islam bukan sahaja di Palestin, bahkan umat Islam keseluruhannya untuk berpegang teguh dengan ajaran Islam.
Sama-sama kita memahami isi kandungan ajaran Islam supaya dapat mempraktikkannya dalam kehidupan kita. Jangan kita menjadi golongan yang ekstrem dan pelampau yang hanya akan merugikan umat Islam itu sendiri.
Umat Islam hendaklah belajar dan memahami Islam dengan baik serta berpegang teguh dengan ajaran Islam yang mulia ini supaya memperoleh keredaan dan pertolongan Allah SWT. Faham Islam, segalanya akan menjadi mudah, Insya-Allah.
Sama-sama juga kita berusaha menghulurkan bantuan kepada saudara kita di Palestin dalam apa bentuk sekalipun... doa, wang ringgit, memboikot barangan Yahudi dan sebagainya.
Buat penagih rokok, sudah tiba masa bagi mereka memboikot rokok. Tidak usah kita menjadi macam sesetengah orang Islam yang begitu hebat mengecam dan marah pada Yahudi, tetapi pada masa sama masih memegang rokok Yahudi di jari!.
Al-Quds adalah antara juzuk daripada akidah umat Islam yang perlu dipelihara sebagaimana memelihara agama itu sendiri. Ini adalah berlandaskan perkara berikut:
l Terdapat ikatan yang kukuh di antara al-Quds dan Masjid al-Aqsa dengan akidah umat Islam. Ini adalah kerana ia adalah bumi yang dipilih oleh Allah sebagai tempat berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj.
l Ia juga adalah kiblat pertama umat Islam. Umat Islam menghadapkan wajah mereka ke Baitulmaqdis ketika mengerjakan solat iaitu ketika mereka berada di Makkah sebelum peristiwa hijrah dan selama 18 bulan ketika berada di Madinah.
l Masjid al-Aqsa adalah masjid yang disabdakan oleh Rasulullah supaya umat Islam berusaha untuk mendekatinya.
l Rasulullah SAW juga menerangkan dan memberitahu mengenai kelebihan dan fadilat tinggal di Baitulmaqdis dan kawasan sekitarnya. Sabda nabi yang bermaksud: "Akan berterusan segolongan dari umatku yang memperjuangkan kebenaran, dan mereka tidak dapat ditewaskan oleh musuh mereka hinggalah berlakunya Kiamat". Sahabat bertanya: "Di manakah mereka tinggal?". Jawab Nabi: "Mereka tinggal di Baitulmaqdis dan kawasan-kawasan sekitarnya."
Orang Islam sejak menerima kunci pembukaan al-Quds ketika pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab lagi, menunaikan amanah penjagaannya dengan begitu baik sekali. Orang Islam ketika berkuasa terhadap al-Quds telah memberikan kebebasan kepada penganut agama lain untuk melaksanakan upacara ibadat mereka tanpa sebarang halangan. Keadilan Islam itu dapat dilihat dengan jelas apabila gereja yang dibina oleh orang Kristian tidak terusik.