Pentadbiran hal ehwal hukum syarak di Negeri Pulau Pinang telah bermula sebelum negara mencapai kemerdekaan, iaitu melalui pelantikan Sheikh Abdullah Fahim sebagai Mufti pertama Pulau Pinang pada tahun 1951. Ketika itu, peranan mufti adalah penting dalam memberi pandangan dan nasihat hukum syarak kepada kerajaan negeri dan masyarakat Islam.
Selepas kemerdekaan, hal ehwal agama Islam di Pulau Pinang diletakkan di bawah tanggungjawab Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Seberang Perai (MAINPP) yang telah ditubuhkan secara rasmi pada 1 Julai 1959. Di bawah MAINPP, Bahagian Mufti berfungsi sebagai salah satu komponen penting dalam struktur pentadbiran agama negeri.
Pada tahun 1984, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) telah menjalankan satu kajian penyusunan semula organisasi Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri. Hasil kajian tersebut mencadangkan agar Pejabat Mufti ditubuhkan sebagai sebuah entiti pentadbiran yang berasingan. Cadangan ini direalisasikan apabila Pejabat Mufti Negeri Pulau Pinang ditubuhkan secara rasmi pada 1 Januari 1997.
Seiring dengan perkembangan organisasi dan peranan yang semakin meluas, Pejabat Mufti telah dinaik taraf dan kini dikenali sebagai Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang (JMNPP).
Sepanjang sejarah penubuhannya, jabatan ini telah diterajui oleh beberapa orang tokoh ilmuwan Islam yang dihormati. Antaranya ialah:
- Sahibus Samahah Tuan Guru Sheikh Haji Abdullah bin Haji Ibrahim (Sheikh Abdullah Fahim): Tahun 1951 – 1956: Mufti pertama yang terkenal dengan ketokohan dalam ilmu falak dan peranan besar dalam penentuan tarikh kemerdekaan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.
- Sahibus Samahah Tuan Guru Haji Abdullah bin Ismail: Tahun 1961 – 1964
- Sahibus Samahah Datuk Sheikh Haji Adnan bin Sheikh Haji Hashim: Tahun 1969 – 1981
- Sahibus Samahah Tuan Haji Abdul Rashid bin Hashim: Tahun 1982 – 1984
- Sahibus Samahah Dato’ Haji Mohammad bin Haji Hashim: Tahun 1984 – 1993
- Sahibus Samahah Dato’ Sheikh Azmi bin Ahmad: Tahun 1993 – 1997
- Sahibus Samahah Dato’ Seri Haji Hassan bin Haji Ahmad: Tahun 1997 – 2014
- Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Haji Wan Salim bin Haji Wan Mohd Noor: Tahun 2014 – 2024
Kepimpinan yang silih berganti ini telah menyumbang kepada pembangunan fatwa, pengurusan hukum syarak dan penyebaran panduan hukum yang kukuh di negeri ini.
Kini, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dipimpin oleh Sahibus Samahah Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Sukki bin Othman yang telah mula menerajui pentadbiran jabatan ini berkuat kuasa 1 Julai 2024. Di bawah kepimpinan beliau, jabatan ini terus komited dalam memperkukuhkan peranan sebagai badan berautoriti dalam hal ehwal hukum syarak di Pulau Pinang

Senarai Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang
