Majlis Penyerahan Modul Latihan dan Bimbingan Pelaksanaan Ibadat Solat untuk Operator kren Penang Port
30 November 2018, Pulau Pinang. SS Dato Seri Dr Wan Salim bin Wan Mohd Noor, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Modul Latihan dan Bimbingan Pelaksanaan Ibadat Solat untuk Operator kren Penang Port bertempat di Surau Terapung Penang Port. Sebelum ini pihak pengurusan Penang Port telah memohon pihak Jabatan Mufti untuk memberi pandangan hukum dan mengeluarkan satu garis panduan solat khususnya kepada para pengendali kren Penang Port yang tugas mereka melibatkan waktu solat di atas kren.
Jabatan Mufti melalui Bahagian Fatwa telah melantik dua orang penyelidik luar iaitu Dr. Hapiz Mahaiyadin (UiTMPP) dan Prof. Madya Dr. Irwan Mohd. Subri (USIM) untuk merangka modul tentang kaedah Solat di atas kren dan hukum-hukum yang berkaitan dengannya. Modul ini telah dibentangkan dan diperhalusi serta mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang. Modul ini juga secara tidak langsung boleh diguna pakai oleh para pengendali kren di pelabuhan-pelabuhan lain di Malaysia. Sesi Latihan dan bimbingan pelaksanaan solat di atas kren juga turut dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada para pengendali kren tentang teknik dan cara-cara pelaksanaan solat yang betul mengikut kaedah-kaedah yang diharuskan syarak.
Dengan adanya panduan kaedah dan modul yang lengkap sebegini, ia telah dapat memberi manfaat yang amat berguna kepada masyarakat khususnya para pengendali kren di pelabuhan. Maka tidak akan wujud lagi keraguan dan pertikaian hukum khususnya dalam bab solat yang melibatkan waktu kerja mereka di atas kren. Pihak Jabatan Mufti mengucapkan syabas dan penghargaan kepada pihak pengurusan Penang Port yang begitu prihatin dalam isu ini. Usaha mereka ini adalah sebagai tanggungjawab sosial dan kebajikan kepada para pekerja dengan menyediakan kemudahan dan keperluan asas untuk menjamin para pekerja mengutamakan amanah Allah SWT di samping tugasan mereka yang perlu dilaksanakan dengan baik dan sempurna.
Disediakan oleh: Ustaz Mohamad Zaki bin Hj. Abdul Halim