Arkib Berita Tahun 2020

Wacana Falak

Pulau Pinang - Program Wacana Falak Tahun 2020 telah diadakan pada tanggal 18 Ogos 2020 Masihi bersamaan 28 Zulhijjah 1441 Hijrah yang bertempat di Digital Library, Pulau Pinang. Seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa, wacana ini diadakan dengan penyertaan yang terhad. Seramai 30 peserta telah hadir semasa sesi wacana berlangsung, namun wacana juga dapat ditonton secara atas talian melalui media sosial facebook JMNPP.

Seramai tiga (3) orang pembentang dijemput untuk menjayakan wacana pada tahun ini. Mereka ialah Dr. Abdul Halim bin Abdul Aziz (AJK Falak Negeri Pulau Pinang), Puan Nurul Fatini binti Jaafar (Penyelidik Etno-Astronomi) dan Ustaz Haji Hanafiah bin Abdul Razak (Panel Pakar Falak JAKIM).

Wacana dimulai dengan pembentangan bertajuk ‘Takwim Hijri Sejagat’ oleh Dr. Abdul Halim bin Abdul Aziz yang berfokus kepada sejarah kewujudan Takwim Hijri, ciri-ciri dan pengetahuan semasa mengenai kalendar Hijri serta asas pembentukan kalendar. Pembentangan kedua bertajuk ‘Kalendar Etnik Dari Perspektif Antropologi Kebudayaan’ oleh Puan Nurul Fatini binti Jaafar yang meliputi definisi kalendar, etnik, etno-astronomi dan antropologi kebudayaan. Pembentangan ketiga bertajuk ‘Kamus Takwim Musim’ oleh Ustaz Haji Hanafiah bin Abdul Razak yang membincangkan tentang perubahan musim di alam tumbuhan, haiwan, daratan dan lautan berdasarkan kalendar.

 

Peserta Wacana Falak   Sesi Taklimat Wacana Falak