Seminar Gagasan Khaira Ummah Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 1443H/2021M
Georgetown : Pada 9 September 2021 yang lalu, telah berlangsungnya Seminar Gagasan Khaira Ummah Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 1443H/2021M yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dan diurus setia oleh Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang. Program ini telah diadakan secara atas talian yang disiarkan secara langsung (live) melalui aplikasi Facebook akaun rasmi Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang bermula dari jam 8:30 pagi sehingga 1:00 tengah hari.
Memasuki tahun ke 11 program ini diadakan, ‘Memahami Konsep Maqasid As-Shari’ah dalam Membentuk Khaira Ummah’ telah dipilih menjadi tema bagi seminar kali ini. Seminar Gagasan Khaira Ummah ini telah dimeriahkan dengan kehadiran Y.B Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abd Rahman, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang sebagai perasmi program pada hari tersebut.
Seminar atau Webinar ini dimulakan dengan pembentangan oleh Felo Utama/Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik (SYARAK), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), YBhg. Dr. Mohd Farid bin Mohd Shahran dengan pembentangannya yang bertajuk Maqasid As-Shari’ah: Keperluan Zaman dan Cabaran Semasa. Seterusnnya diikuti dengan mantan Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato' Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz yang membentangkan tajuk Maqasid Al-Shari’ah: Asas Pembentukan Khaira Ummah.
Tujuan seminar ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan dalam memahami istilah-istilah dalam agama agar tidak disalah tafsir.
Dalam ucapan Timbalan Mufti Negeri Pulau Pinang, Tuan Haji Yusoff bin Haji Abu Bakar, beliau berharap agar seminar yang diadakan pada kali ini memberikan manfaat dan memberikan kesan yang mendalam mengenai kesyumulan Islam dari pelbagai dimensi yang dipandu oleh sumber rujukan utama kita iaitu Al-Quran dan sunnah Nabi SAW