Latar Belakang

Latar Belakang Pusat Falak Sheikh Tahir

PFST 1

Perletakan batu asas bangunan Pusat Ilmu Falak telah dilancarkan pada bulan Jun 1988 ( Syawal 1408 ) dan sekaligus merupakan sumbangan permulaan yang amat penting kepada cerapan dan eksperimen kegiatan ilmu falak di Malaysia dan di rantau ini. Pusat Falak Syeikh Tahir dibuka dengan rasminya pada hari Rabu, 30 Rabiul Awal 1412H bersamaan 9 Oktober 1991, bertujuan untuk memenuhi keperluan saintifik dalam bidang kritikal seperti kalendar Islam, kajian senja, pemupusan dan pembiasan atmosfera, kenampakan anak bulan serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Pusat Falak Syeikh Tahir, Balik Pulau, Pantai Acheh terletak di kawasan paling barat negeri Pulau Pinang ( 5° 25’ U , 100° 12’ T ) stesen penyelidikan astronomi dan sains atmosfera bersama antara Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan Sains Atmosfera, Universiti Sains Malaysia. Memorandum persefahaman di antara Universiti Sains Malaysia dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang telah ditandatangani pada 21 Oktober 1992 bersamaan hari Rabu, 25 Rabiul Akhir 1413H. Pusat Falak ini akan ditadbirkan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Universiti Sains Malaysia selama 30 tahun. USM dan MAINPP telah bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang pentadbiran, kewangan dan penyelidikan di Pusat Falak tersebut.

Selaras dengan persetujuan yang dicapai, satu lembaga penasihat telah ditubuhkan bersama. Lembaga Penasihat ini akan bermesyuarat dari masa ke semasa untuk merancang dan mengawasi pembangunan dan perkembangan masa depan Pusat Falak untuk mengembangkannya sebagai sebuah pusat antarabangsa yang cemerlang. Ekoran dari kejayaan penemuan Garisan Tarikh Lunar Antarabangsa bersamaan dengan terbentuknya suatu kaedah saintifik penentuan kenampakan anak bulan yang moden serta kemajuan di dalam penyelidikan lapisan Ozon menjadikan kewujudan penyelidikan ilmu falak menjadi suatu yang mendesak. Selain digunakan untuk observatori Pusat Falak Syeikh Tahir juga dilengkapkan dengan bahan-bahan pameran. Ini dapat memberi pengetahuan dan menimbulkan minat terhadap astronomi di kalangan masyarakat. Untuk jangka masa panjang, Pusat Falak Syeikh Tahir diharap akan berupaya untuk menjadi pusat penyelidikan, pendidikan dan pelancongan Astro-Tourism.