Arkib Berita Tahun 2019

Karnival Khaira Ummah Satu Cetusan Idea Baru

Kepala Batas–Penglibatan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dalam pameran Karnival Khaira Ummah baru-baru ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelbagai pihak. Karnival yang berlangsung selama empat (4) hari ini bermula dari 14 Februari hingga 17 Februari di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas.

Program ini merupakan anjuran Pejabat Timbalan Ketua Menteri (1) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP). Perasmian Karnival Khaira Ummah yang bertemakan ‘Membangun Khaira Ummah’ telah dirasmikan oleh YB Dato’ Ir Ahmad Zakiyuddin bin Abd Rahman, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang pada 15 Februari 2019.

Pelbagai aktiviti dan program yang menarik telah dijalankan selama empat (4) hari tersebut. Antara aktiviti yang dijalankan oleh Jabatan Mufti adalah seperti pameran peralatan falak, tayangan astronomi, kaunter tarikh hijriah, cerapan bulan dan edaran bahan-bahan terbitan Jabatan. Pelbagai agensi kerajaan dan badan berkanun turut melibatkan diri dalam pameran carnival tersebut antaranya Agensi Anti Dadah Kebangsaan(AADK), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN), UiTM, Kolej Teknologi Antarabangsa (KITAB) dan sebagainya.

Kemuncak aktiviti yang menarik perhatian ramai ialah ceramah perdana yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Abdus Somad yang bertajuk “Pentingnya mendekati al-Quran untuk memperolehi rahmat Allah”.  Sepanjang program tersebut, pengunjung juga disajikan dengan persembahan qasidah dan nasyid oleh UNIC. Selain itu turut diadakan program wanita yang bertajuk ‘Pujaan Hati Kanda’ disampaikan oleh Ustazah Najihah bt. M Yusuf, Forum Perdana yang bertajuk “Khaira Ummah: Realiti & Harapan” dengan panelis forum terdiri dari Dr. Zaharuddin Abd. Rahman dan Ustaz Roslan Che Ros serta pelbagai aktiviti yang lain.

Majlis perasmian penutup Karnival Khaira Ummah dan perasmian Gagasan Khaira Ummah telah berlangsung pada 18 Februari 2019 di Dewan Solat Masjid Abdullah Fahim oleh T.Y.T Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Turut hadir pada malam tersebut YB Dato’ Ir. Zakiyuddin bin Abd.Rahman, Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang .