Maqasid Al Syariah Dalam Mewujudkan Negara Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur
Permatang Pauh – Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Permatang Pauh telah berjaya menganjurkan Seminar Al-Quran Peringkat Negeri Pulau Pinang 1440H/2019M. Tema seminar kali ini adalah “Memahami Konsep Maqasid Al-Syariah Dalam Pentadbiran Negara Menurut Kerangka Al-Quran”.
Seminar yang berlangsung pada 23 April 2019 bertempat di Dewan Besar UiTM Permatang Pauh telah dihadiri oleh 671 orang peserta. Para peserta yang terdiri daripada kakitangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Persekutuan, Jabatan Pendidikan Negeri, UiTM, guru-guru KAFA, badan-badan NGO dan orang awam.
Seminar Al Quran pada tahun ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, YB. Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman. Ucaptama pada seminar kali telah disampaikan oleh Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim bin Wan Mohd Noor, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mengupas berkaitan tema seminar.
Selain itu terdapat tiga (3) kertas kerja lagi telah dibentangkan dalam seminar kali ini iaitu :
- “Aplikasi Maqasid Al-Syariah Dalam Pentadbiran Negara: Satu Tinjauan Sejarah Islam” oleh Dr. Mohamad Zaidi bin Abdul Rahman dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur,
- “Kesejahteraan Sejagat: Analisis Dari Perspektif Maqasid Al-Syariah” oleh Prof. Madya Dr. Jasni bin Sulong dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
- “Maqasid Al-Syariah Dalam Konteks Kenegaraan dan Pemerintahan” oleh Puan Nor Safina binti Zainal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Seminar Al Quran merupakan sebahagian dari program sempena Sambutan Bulan-bulan Al Quran Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2019. Ini merupakan penganjuran kali ke 10. Objektif utama seminar ini adalah bagi memartabatkan al-Quran sebagai sumber ilmu turath dan moden dengan mengemukakan metode penghayatan dan pengaplikasian al-Quran dalam membina keperibadian, akhlak dan ukhuwah sesama manusia. Di samping itu juga, meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kesyumulan al-Quran dalam menanggapi pelbagai isu-isu berkaitan pentadbiran dan pengurusan sesebuah kerajaan.
Sila klik untuk ke galeri gambar Seminar Al-Quran Peringkat Negeri Pulau Pinang 1440H/2019M