The Baily's Beads
Batam, Indonesia, 26 Disember 2019 - Sekumpulan 10 orang wakil dari Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang (JMNPP) turut berpeluang mencerap fenomena gerhana matahari cincin yang berlangsung pada tarikh tersebut. Pencerapan kali ini menggunakan peralatan khas yang disediakan. Ini merupakan julung kalinya diadakan di Pulau Batam, Riau, Indonesia oleh wakil JMNPP.
Teleskop jenis Sky-Watcher dilekapkan dengan Mount EQ5 yang disambungkan bersama Kamera Canon 600D berupaya merakam imej gerhana matahari cincin secara sempurna bermula dari sentuhan pertama hingga ke sentuhan terakhir seperti gambar dibawah.
Pemilihan Pulau Batam sebagai lokasi untuk mencerap gerhana yang berlaku kerana tempoh masa berlakunya gerhana cincin tersebut adalah lebih lama berbanding dengan lokasi yang lain. Ini membolehkan fenomena yang berlaku dapat dilihat dengan jelas dalam masa yang lebih panjang.
Gerhana matahari cincin atau anulus kali terakhir berlaku di Malaysia adalah kira-kira 21 tahun lalu iaitu pada 22 Ogos 1998, yang dapat dilihat jelas di Mersing, Johor. Fenomena astronomi itu berlaku apabila bulan menutupi hampir keseluruhan matahari semasa fasa sentuhan kedua (C2) dan ketiga (C3) gerhana matahari cincin.
Sisi bulan yang tidak rata akan membenarkan cahaya matahari melalui celah-celah bukit bukaunya, menghasilkan ilusi cahaya seperti rantaian manik iaitu dipanggil “The Baily’s Beads” (kesan manik Baily atau kesan cincin berlian).
Turut menyertai aktiviti mencerap di kepulauan Indonesia tersebut dari Malaysia ialah Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jabatan Mufti Negeri Pahang, Jabatan Mufti Negeri Kelantan serta Persatuan Falak Syari’e Selangor.