KENYATAAN MEDIA
YB DATO’ ABDUL MALIK KASSIM,
EXCO HAL EHWAL AGAMA PULAU PINANG
1 OKTOBER 2015
PENGGUNAAN PEMBESAR SUARA LUAR MASJID DAN SURAU DI PULAU PINANG.


 Kerajaan negeri Pulau Pinang sentiasa berusaha memartabatkan agama Islam di negeri ini. Usaha untuk menterjemahkan Islam sebagai “Rahmat Seluruh Alam” bukan sahaja kepada insan muslim, bahkan kepada seluruh makhluk alam terus ditingkatkan.
Syiar Islam harus disebarkan secara berhemah tanpa perlu menjejaskan imej agama suci itu. Islam mementingkan kesejahteraan hidup individu dan seluruh masyarakat Islam dan bukan Islam. Ia selari dengan nas-nas al-Quran dan al-sunnah.

Makanya, umat Islam yang ingin melakukan ibadah tidak sewajarnya mengganggu ketenteraman orang lain, khususnya yang berada di luar masjid.
Sepanjang Januari 2012 sehingga Mei 2015, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) telah menerima 10 aduan daripada orang Islam berkaitan penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau bagi bacaan zikir selepas solat, ceramah atau kuliah, rakaman Al-Quran dan zikir sebelum azan.
Pihak JHEAIPP melalui Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau telah mengadakan siasatan dan pertemuan dengan para pengadu dan mendapati aduan mereka berasas.
Justeru, sebuah kertas laporan dan cadangan daripada JHEAIPP berkaitan aduan berkenaan telah dipanjangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya.
Kertas cadangan itu kemudiannya telah dibincangkan daripada pelbagai sudut oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 1 dan 2 Julai. Keputusan sebulat suara itu disahkan pada mesyuarat jawatankuasa yang sama pada 23 dan 24 Ogos lalu.
Keputusan Jawatankuasa itu telah disampaikan kepada saya selaku Exco Hal Ehwal Agama dan dalam masa yang sama telah dimaklumkan kepada JHEAIPP sebagai jabatan yang bertanggungjawab untuk tindakan selanjutnya.
Keputusan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sebelum diangkat kepada Yang DiPertuan Agong untuk mendapat perkenan Baginda.
Setelah diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong, fatwa itu akan digazet dan dipanjangkan kepada JHEAIPP untuk tindakan penguatkuasaan.
Pihak kerajaan negeri akan memutuskan pada masa tertentu mengikut permasalahan ini dengan cara terbaik bagi mengendalikan perkara ini.