Jangan ambil gambar suka-suka di kubur | SinarHarian, 6 November 2019

SHAH ALAM - Perbuatan mengambil gambar di tanah perkuburan Islam atau bukan Islam untuk tujuan komersial atau sekadar suka-suka adalah dilarang dalam Islam.

Pendakwah yang juga Imam Jemputan Masjid Asy-Syakirin Kuala Lumpur City Center (KLCC), Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan, Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi berkata, mengambil gambar di kawasan perkuburan untuk dijadikan sebagai kenangan supaya boleh mengenal pasti kedudukan kubur atau sebagai kenangan keinsafan untuk diri atau keluarga adalah diharuskan dengan syarat bukan untuk bersuka ria apatah lagi jika diiringi dengan senyuman atau tidak menjaga adab menziarahi kubur.

Menurutnya, aktiviti mengambil gambar di tanah perkuburan turut menjadi perbahasan dalam kalangan ulama iaitu tentang keharusan bergambar dinilai berdasarkan tujuan yang dibenarkan sahaja.

“Kita kena ingat mana-mana kawasan perkuburan sama ada perkuburan Islam atau bukan Islam bukan sekadar untuk menyimpan mayat tetapi supaya orang yang masih hidup ini boleh mengingati pemergian si mati atau kematiannya sendiri suatu hari nanti.

“Bukanlah salah nak pergi kawasan perkuburan bukan Islam hukumnya harus untuk menjaga keharmonian dan menjaga hubungan tetapi jika untuk tujuan komersial ia dilarang sebab perkuburan bukan kawasan komersial apatah lagi yang melanggar etika di kawasan perkuburan,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Mengulas mengenai tindakan pemilik butik pengantin yang menjadikan kawasan tanah perkuburan Kristian sebagai lokasi untuk memperagakan baju pengantin supaya kelihatan ‘rare’, beliau berkata, tindakan sedemikian jelas memberi fitnah kepada agama Islam.

Ini kerana katanya, perbuatan sebegitu mencemar 'kesucian' atau mencemar etika kawasan perkuburan bagi orang Kristian kerana orang Kristian pun mempercayai bahawa kawasan perkuburan adalah suci dan perlu menjaga batas-batas tertentu.

“Malah orang Kristian pun ada pakaian khas untuk pergi ke kawasan perkuburan, mereka pakai baju hitam. Kita pula sebaliknya siap pakai baju kahwin".

“Faham tujuan adalah untuk pemasaran supaya tular tapi kenalah jaga adab kerana ia boleh memberikan fitnah kepada agama Islam sendiri” katanya.

Jelasnya, antara hadis yang agak sesuai untuk dikaitkan dengan situasi ini adalah sabda Nabi Muhamad SAW yang bermaksud: “Tinggalkan perkara yang meragukan kamu dengan perkara yang tidak meragukan kamu,” atau hadis lain Nabi menyatakan "Di antara tanda kebaikan seseorang Muslim ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak patut dan tidak perlu dia dilakukan."

“Maknanya hadis itu adalah sebagai umat Islam, kita tidak perlu melakukan perkara yang tidak sesuai dan tidak penting lebih-lebih lagi perbuatan seperti ini.

“Kerana ia bukan hanya memberi kesan daripada sudut agama malah dalam keharmonian kaum pun ia akan mencetuskan salah faham malah sikap benci membenci kerana tidak menjaga adab dan kehormatan,” katanya.

Sementara itu Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor turut berpandangan bahawa perbuatan mengambil gambar di mana-mana tempat termasuk di kawasan perkuburan orang Islam atau bukan Islam jika tiada unsur pemujaan atau syirik kepada ALLAH SWT dibolehkan.

Jelasnya, tetapi adalah lebih baik dielakkan kerana dibimbangi akan membawa kepada persepsi yang salah oleh masyarakat.

“Banyak lagi tempat-tempat lain yang menarik, buat apa cari tempat yang boleh menyebabkan orang menyangka yang bukan-bukan!,” katanya.

Terdahulu pemilik butik pengantin, Nur Amirah Mohd Amiruddin, 26, mengakui kesilapan itu daripada diri sendiri dan memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung mengenai gambar seorang model wanita bergambar di tepi kubur bukan Islam yang dimuat naik di Facebook miliknya baru-baru ini.

Gambar itu kemudiannya tular di media sosial hingga mengundang kemarahan warganet yang kurang senang dengan tindakan jurugambar seolah-olah tidak peka dengan sensitiviti umat Islam.


 Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/55952/BERITA/Nasional/Jangan-ambil-gambar-suka-suka-di-kubur