Arkib Keratan Akhbar Tahun 2016

'Oh My God': Kenakan Namawee hukuman berat || Sinar Harian, 31 Julai 2016

image

GEORGETOWN - Kenakan hukuman yang berat terhadap Namawee, demikian tegas Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau melahirkan rasa kesalnya berhubung tindakan lelaki berkenaan yang dilihat menari di dalam masjid serta melakukan pelbagai adegan yang didakwa menghina umat Islam.

"Perbuatan ini merupakan satu tindakan provokasi yang merbahaya kerana boleh membawa kepada ketegangan dalam hubungan antara kaum dan penganut pelbagai agama.

[ARTIKEL BERKAITAN: 20 NGO buat laporan polis berhubung video Namawee]

“Hukuman yang keras terhadap Namewee perlu dilakukan jika didapati benar beliau melakukan perbuatan tersebut, ia adalah sebagai pengajaran kepada beliau di samping menjadi peringatan kepada sesiapa sahaja supaya tidak melakukan tindakan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Wan Salim turut menyokong tindakan badan bukan kerajaan (NGO) yang membuat laporan polis bagi memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan segera terhadap pemuzik yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Tambahnya lagi, beliau turut bimbang apabila fenomena menghina agama Islam semakin kerap dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

"Oleh itu saya ingin menggesa semua pihak bertanggungjawab dan para pemimpin kesemua kaum supaya memainkan peranan bagi memberi kefahaman kepada pengikut masing-masing.

“Ia mengenai keperluan memelihara keharmonian hubungan antara pelbagai kaum dan penganut supaya menghormati perbezaan agama, budaya dan adat resam masing-masing,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan mata pelajaran Sejarah Kemerdekaan Negara Malaysia.

"Cadangan ini bertujuan memberi ilmu kepada para pelajar tentang kontrak sosial yang telah dimetrai antara para pemimpin kaum ketika sama-sama berjuang menuntut kemerdekaan daripada Penjajah British dahulu.

"Dalam kontrak sosial tersebut orang Melayu bersetuju menerima kaum luar pada masa itu sebagai rakyat di negara ini, jadi dari situ kita perlu tahu dan sedar bahawa kenapa wujudnya hak-hak istimewa, dan perlu difahami bahawa pentingnya kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan.

"Semoga pandangan ini dipertimbangkan oleh pihak berkuasa dan mendapat reaksi positif semua pihak demi memelihara hubungan yang baik dan harmoni antara kaum dalam masyarakat majmuk di Malaysia yang tercinta,” katanya.