Arkib Keratan Akhbar Tahun 2018

Fatwa terhadap Syiah boleh disemak semula - Mufti Pulau Pinang || BH Online, 19 November 2018

GEORGETOWN: Fatwa yang menetapkan Syiah sebagai ajaran menyimpang daripada Islam boleh disemak semula berdasarkan beberapa hujah selepas mengambil kira konsensus mengenainya hanya bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata ia boleh dilakukan selepas mengambil kira amalan penganutnya yang dilihat masih berada dalam lingkaran ajaran Islam, selain fahaman ASWJ tidak mewakili keseluruhan umat Islam.

 Bagaimanapun, katanya, fahaman Syiah perlu diamalkan secara tertutup kerana berbeza dengan fahaman ASWJ, selain dikhuatiri akan mengundang kecelaruan, sekali gus menyebabkan perpecahan lebih parah dalam kalangan umat Islam.

“Kita boleh semak semula dan mengiktiraf Syiah, walaupun ada beberapa kumpulan tertentu dalam mazhab ini dianggap terkeluar daripada Islam. Ia perlu dibuat berdasarkan hujah tekstual (al-Quran dan hadis sahih) serta rasional.

“Kita tak boleh memutuskan hukum berdasarkan kehendak sendiri, ia mesti dibuat mengikut dalil dan hujah. Selagi Syiah masih percaya kepada rukun Iman, maka mereka masih Islam dan perdebatan berkaitan elemen fiqah pula dibuat berdasarkan imam mereka.

“Lihat kerajaan Arab Saudi membenarkan Syiah di Iran dan Syria mengerjakan ibadah haji. Ia bererti mereka (Syiah) masih diiktiraf sebagai Islam dan bersaudara, walaupun terdapat perbezaan amalan serta perundangan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan beberapa pihak membatalkan fatwa berhubung penetapan Syiah sebagai ajaran menyimpang daripada Islam, yang diwartakan pada tahun 1996.

Wan Salim turut mengakui semakan semula itu akan mengundang ketegangan dalam kalangan umat Islam di negara ini dengan ia perlu diatasi melalui siri penjelasan yang berkesan.

“Semua pihak perlu mainkan peranan mereka. Kita faham perkara ini akan wujudkan ketegangan kerana nak harapkan setiap umat Islam setuju dengan semua perkara itu memang mustahil.

“Bagaimanapun, semakan semula ini bertujuan untuk mengelak daripada memberi peluang kepada musuh mengadu-domba dan mengeksplotasi titik perbezaan umat Islam. Syiah boleh diiktiraf, tetapi bukan untuk diamalkan secara meluas,” katanya.


 Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/11/499710/fatwa-terhadap-syiah-boleh-disemak-semula-mufti-pulau-pinang