TIDAK PERLU KIBAR BENDERA PUTEH UNTUK MENAGIH BANTUAN

Saya selaku Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan mewakili seluruh warga Jabatan ini, ingin merakamkan keperihatinan dan perasaan simpati kami yang mendalam terhadap penderitaan dan kepayahan hidup yang dihadapi oleh sebahagian rakyat ketika ini akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia ketika ini bagi mencegah penularan pandemik Covid-19 yang didapati semakin membimbangkan.

Justru Jabatan ini menyeru supaya usaha-usaha intensif dan agresif ditingkatkan lagi oleh Pihak Berwajib bagi membantu mengatasi kemelut ekonomi yang dihadapi golongan yang terjejas dengan situasi ini. Jabatan ini juga ingin merayu syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat swasta untuk terus menunaikan tanggungjawab sosial masing-masing dan turut serta menyumbang dengan lumayan bagi meringankan keperitan hidup golongan terbabit.

Walau bagaimanapun di kesempatan ini, ingin ditegaskan bahawa Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang tidak bersetuju dengan cadangan mengibar bendera putih sebagai usaha menzahirkan kesusahan hidup yang dihadapi untuk menagih bantuan. Jabatan ini beranggapan bahawa tindakan sebegini tidak wajar dilakukan kerana ia mencerminkan sikap berputus asa dan mengalah terhadap situasi yang dihadapi. Bagi umat Islam khususnya, perlulah memahami bahawa sikap berputus asa dan mudah mengalah kepada kesusahan dan kesempitan hidup adalah dilarang. Seorang yang mudah mengalah kepada kesusahan dan berputus asa dalam menghadapi ujian hidup menunjukkan kepada kelemahan iman dan tiada keyakinan kepada rahmat ALLAH SWT.

Jabatan ini berpendapat masih banyak cara lain untuk mendapat bantuan bagi mengatasi kepayahan hidup golongan yang terjejas pendapatannya dalam tempoh PKP yang dilaksanakan ini. Di samping bantuan sedia ada yang disalurkan oleh pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri, bantuan juga boleh didapati daripada badan-badan dan agensi-agensi tertentu terrmasuk Pusat-pusat Pengurusan Zakat setiap negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, GLC, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), syarikat-syarikat swasta serta sumbangan dari pihak individu.

Para wakil-wakil rakyat sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri perlulah memainkan peranan sebagai penghubung di antara golongan yang memerlukan bantuan dengan pihak-pihak yang dinyatakan tadi. Kemungkinan mereka ini tidak tahu cara atau kaedah untuk memohon bantuan daripada pihak-pihak-pihak tersebut.

Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang juga ingin mengajak seluruh umat Islam supaya memperbanyakkan doa dan munajat ke hadrat Ilahi supaya diangkat-Nya pandemik covid-19 daripada muka bumi ini. Bersama- samalah kita bersabar menghadapi ujian ini dan teruskan berikhtiar untuk mengatasi kemelut yang melanda. Semoga Allah mendengar rayuan hanba-hamba-Nya dan menerima doa kita semua. Amin!

DATO’ SERI DR. WAN SALIM WAN MOHD NOOR
MUFTI PULAU PINANG